Budaya Muzik Kampus Kembali Hangat! Singgah Kampus Tour 2026 Kumpul Nabila Razali Serta 14 Artis Lain

Suasana kampus di seluruh negara bakal bergegar dengan gelombang muzik tanah air menerusi penganjuran jelajah berskala besar, Singgah Kampus Tour 2026 yang membawakan 15 artis popular ke tujuh universiti bermula 2 November hingga 5 Disember 2026. Inisiatif terbitan Malika Entertainment & Management ini dirangka khusus bagi memenuhi cita rasa generasi muda yang kini menikmati muzik menerusi platform penstriman digital dan media sosial, merasai kemeriahan persembahan secara langsung.

Barisan artis berbakat seperti Nabila Razali, Elica Paujin, Adzrin, Najmi Niery dan ramai lagi disatukan untuk membawa tenaga positif serta menghiburkan para mahasiswa di lokasi terpilih termasuk UTeM, UUM, UM, UPSI, USM, UMS dan UiTM Shah Alam.

Pengarah Projeknya, Anne Mukhtar berkata, penganjuran ini memberi penekanan kepada usaha membina hubungan jangka panjang antara artis dan peminat setianya. Suasana santai di universiti membolehkan mahasiswa berinteraksi, mengenali identiti muzik penggiat seni dengan lebih mendalam serta menyokong karya tempatan secara langsung.

“Gabungan pengalaman secara langsung dan penglibatan digital ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan peminat, malah membantu memperkenalkan karya kepada khalayak yang lebih luas,” ujar beliau.

Tidak hanya tertumpu kepada persembahan nyanyian, program ini turut membuka ruang kerjasama strategik bersama pihak universiti, persatuan mahasiswa serta media kampus dalam merangka promosi yang lebih kreatif dan relevan dengan cita rasa anak muda masa kini. Bagi mahasiswa di UTeM, aksi pembukaan hari ini pastinya menjadi detik paling ditunggu-tunggu. Ikuti perkembangan terkini siri jelajah ini di platform media sosial rasmi penganjur untuk mengetahui jadual penuh dan kejutan menarik di universiti anda.