Dapatan terbaharu Asia Pacific Wellness Culture Survey 2026 oleh Herbalife mendedahkan bahawa golongan Gen Z dan Milenial di Malaysia kini mengamalkan pendekatan kesejahteraan yang lebih holistik dengan memberi penekanan seimbang terhadap aspek fizikal, mental, emosi dan sosial.
Peralihan positif ini menyaksikan 62% Gen Z dan 54% Milenial lebih aktif menyertai aktiviti kesejahteraan berbanding tiga tahun lalu, sekali gus mengatasi purata kebangsaan (53%). Perkembangan ini bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup peribadi, malah membuka peluang keusahawanan apabila Gen Z kini merangkumi 10.4% daripada pengedar aktif Herbalife di Malaysia.
Berbeza dengan generasi terdahulu yang lebih tertumpu kepada kesihatan fizikal, Gen Z kini mentakrifkan semula keutamaan hidup dengan meletakkan kesihatan mental (66%) dan emosi (62%) sebagai aspek paling kritikal yang memerlukan sokongan lanjut. Kesedaran ini diterjemahkan melalui tindakan konsisten, terutamanya dalam menambah baik kualiti tidur (51%), mengamalkan diet berkhasiat (46%) serta menguruskan berat badan (38%). Ini membuktikan kesungguhan generasi muda untuk melabur dalam penjagaan kesihatan jangka panjang dan bukan sekadar mengejar matlamat sementara.
Dalam masa yang sama, persekitaran digital memainkan peranan penting sebagai pemangkin gaya hidup sihat mereka, dengan lebih separuh golongan muda mengakui media sosial dan komuniti dalam talian memberi impak positif terhadap kesejahteraan fizikal serta mental. Bagi memperkukuh usaha ini, sokongan daripada komuniti fizikal dan inisiatif berterusan seperti kerjasama Herbalife bersama Kementerian Belia dan Sukan menerusi Hari Sukan Negara (HSN) 2026 membuktikan bahawa gabungan jaringan digital dan aktiviti komuniti berupaya mengekalkan amalan sihat rakyat Malaysia secara berterusan.


