Barisan penyanyi single Bersua Nanti iaitu Izama, Suraya Yusoff dan MK K-Clique

Industri muzik tanah air terus diserikan dengan karya segar menerusi pelancaran single terbaharu berjudul Bersua Nanti, sebuah projek kolaborasi istimewa yang menggabungkan dua bakat baharu, Izama dan Suraya Yusoff, bersama bintang hip hop popular, MK K-Clique. Menariknya lagi, projek ini turut menandakan langkah sulung pelakon berbakat, Fadhli Masoot, yang menggalas tanggungjawab di kerusi pengarah bagi muzik video (MV) rasmi lagu berkenaan.

Bersua Nanti hadir dengan nuansa tersendiri hasil gabungan elemen R&B, Hip Hop serta sentuhan Jazz yang jarang diketengahkan dalam acuan sedemikian. Dari sudut penceritaan, karya ini menyelami dinamika hubungan manusia yang sarat dengan fasa kehilangan, keraguan, dan pencarian makna di sebalik ujian, sambil menitipkan mesej bahawa setiap pertemuan mahupun perpisahan mempunyai hikmah yang tersurat dan tersirat.

Bercerita mengenai fasa awal penciptaan, Izama menjelaskan bahawa projek ini bermula daripada rakaman demo yang dihasilkannya bersama Wongie sebelum diserahkan kepada Suraya Yusoff untuk suntikan vokal wanita. Proses tersebut turut diperkukuhkan menerusi perbincangan bersama Ali Nurazmal, abang kepada Suraya bagi menyempurnakan struktur lirik serta lenggok jazzy yang dimahukan. Bagi Suraya, lagu ini menjadi taruhan sulungnya sebagai penyanyi dan beliau bersyukur kerana banyak bereksperimen dari segi susunan melodi bersama abangnya sehingga terhasilnya versi akhir.

Penyertaan MK K-Clique dalam projek ini disifatkan sebagai satu rezeki yang tidak dijangka buat kedua-dua pendatang baharu itu. Semuanya bermula apabila Fadhli Masoot menghantar demo awal kepada MK untuk mendapatkan pandangan, namun disambut baik oleh penyanyi rap berkenaan yang kemudiannya sudi melengkapkan bait verse terakhir. Rakaman vokal dijalankan secara berperingkat bermula dengan Izama dan Suraya di studio yang sama, sebelum MK menyempurnakan bahagiannya di studio peribadi sebelum proses remastering akhir disiapkan.

Mengulas mengenai pengalamannya mengarah muzik video sulung ini, Fadhli Masoot menerapkan pendekatan visual surealis yang sarat dengan simbolisme dan metafora bagi menterjemahkan konflik dalaman, godaan, serta petunjuk dalam hidup manusia. Antara lokasi tumpuan yang menjadi money shot termasuklah pemandangan matahari terbit di Bukit Guling Ayam yang melambangkan keinsafan dan petunjuk Ilahi, disamping sebuah kelab di Petaling Street sebagai simbolik kekosongan jiwa manusia.

Di sebalik kejayaan visual yang dipaparkan, Fadhli turut mendedahkan cabaran getir di peringkat pra-produksi apabila rancangan awal untuk menjalani penggambaran di Maghribi, Morocco terbatal pada saat-saat akhir berikutan isu janji bersama sebuah agensi pelancongan. Walaupun berdepan kekangan bajet yang tiba-tiba, Fadhli bersama Pengarah Fotografi DOP, Mad Nor Kasim, tekad meneruskan penggambaran tempatan dengan sokongan penaja JK Malatang yang tampil meringankan beban produksi.

Kini, muzik video rasmi Bersua Nanti telah mencatatkan lebih 46,000 tontonan sejak dimuat naik di platform YouTube. Peminat boleh menghayati lagu ini di semua platform penstriman digital serta menonton karya visual arahan Fadhli Masoot menerusi saluran YouTube rasmi di https://youtu.be/Tj8tXaaR98Y.