Kumpulan popular Indonesia, D’Masiv bakal kembali bertemu peminat Malaysia menerusi jelajah “D’MASIV Asia Home Run” yang akan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 20 November 2026. Selepas menjayakan siri jelajah di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, D’Masiv meneruskan perjalanan muzik mereka ke beberapa negara Asia termasuk Taiwan, Hong Kong, Singapura sebelum menjadikan Kuala Lumpur sebagai salah satu destinasi terakhir sebelum menutup jelajah tersebut di Jakarta. Konsert yang dianjurkan oleh Neptunes Presents itu dijangka menjadi malam penuh nostalgia buat peminat apabila D’Masiv bakal mempersembahkan rangkaian lagu popular mereka sepanjang lebih dua dekad dalam industri muzik. Vokalis D’Masiv, Rian Ekky Pradipta berkata, jelajah “D’MASIV Asia Home Run” bukan sekadar sebuah siri konsert, tetapi peluang untuk kumpulan itu kembali mendekati peminat antarabangsa serta berkongsi perjalanan muzik yang telah membentuk identiti mereka. Menurut beliau, D’Masiv mahu membawa suasana yang lebih dekat dan mesra kepada peminat menerusi persembahan yang menggambarkan semangat serta kehangatan muzik mereka. Malaysia mempunyai tempat istimewa dalam perjalanan D’Masiv apabila negara ini sering dianggap sebagai antara lokasi yang mempunyai sokongan peminat paling kuat. Pengarah Projek Neptunes Presents, Shamsir Firdaus Shariman berkata, hubungan erat antara D’Masiv dan peminat Malaysia menjadi antara faktor utama Kuala Lumpur dipilih sebagai salah satu lokasi jelajah tersebut. Mega Star Arena dipilih sebagai lokasi konsert kali ini bagi memberikan ruang yang lebih besar kepada peminat yang ingin menyaksikan persembahan kumpulan tersebut secara langsung. Peminat bakal dihiburkan dengan lagu-lagu popular D’Masiv termasuk “Pergilah Kasih”, “Jangan Menyerah” dan “Cinta Ini Membunuhku”, selain karya terbaharu kumpulan itu. Pengarah RANS Entertainment, Nagita Slavina turut menyifatkan jelajah tersebut sebagai satu pengalaman baharu yang memberi peluang kepada D’Masiv untuk berhubung semula dengan peminat melalui persembahan yang lebih istimewa. Konsert selama kira-kira dua jam itu akan menggabungkan elemen muzik, visual dan kisah perjalanan D’Masiv sejak awal penubuhan mereka pada tahun 2003. Tiket pra-jualan untuk konsert D’Masiv di Kuala Lumpur akan mula dijual pada 8 September 2026, jam 10 pagi menerusi laman web rasmi dmasivtour.com. Antara kategori tiket yang ditawarkan termasuk Festival, Super VIP, Diamond, Platinum dan Gold dengan pelbagai pakej eksklusif untuk peminat. Selepas lebih 20 tahun berkarya, D’Masiv terus membuktikan bahawa muzik yang dekat dengan hati peminat mampu merentasi masa dan generasi. “D’MASIV Asia Home Run” dijangka menjadi satu lagi detik istimewa buat peminat Malaysia yang menantikan kemunculan kumpulan tersebut di pentas tempatan. Post navigation Ungu Raih Sorakan Hampir 4,000 Peminat Menerusi Konsert 3 Dasawarsa di Kuala Lumpur