Dua kugiran kontemporari Malaysia, FUGŌ dan Midnight Fusic, bakal berkongsi pentas buat kali pertama menerusi Panggung Sandiwara: FUGŌ & Midnight Fusic yang akan berlangsung pada Sabtu, 17 Oktober 2026, jam 8.00 malam di Odeon KL, Kuala Lumpur.

Dianjurkan oleh Rockstation Event & Entertainment Sdn. Bhd., konsert double-bill ini menghimpunkan dua kumpulan yang mempunyai identiti muzik tersendiri serta kelompok peminat masing-masing dalam sebuah pengalaman persembahan secara langsung yang istimewa.

Konsert ini juga menandakan kali pertama FUGŌ dan Midnight Fusic mengadakan persembahan berskala konsert bersama selepas kedua-dua kumpulan mula berbincang mengenai kemungkinan untuk bekerjasama pada 2024 ketika mereka terlibat dalam sebuah acara persembahan di Pantai Timur.

Menurut Pengarah Urusan Rockstation Event & Entertainment Sdn. Bhd., Mozylir Mokhtaruddin, kedua-dua kumpulan mempunyai identiti muzik yang kuat dan unik, selain memiliki kelompok peminat yang sangat kukuh.

Rockstation melihat gandingan FUGŌ dan Midnight Fusic sebagai satu kombinasi yang tepat untuk memenuhi selera generasi baharu pendengar muzik, sekali gus menjadikan konsert ini antara persembahan yang wajar dinantikan.

Bagi kedua-dua kumpulan, Panggung Sandiwara merupakan realisasi kepada idea yang telah mula dibincangkan lebih dua tahun lalu. Vokal utama FUGŌ, Hakim Kamal, berkata mereka pernah berbincang mengenai kemungkinan melakukan sesuatu bersama pada 2024 ketika membuat persembahan di acara yang sama.

Nama Panggung Sandiwara pula diinspirasikan daripada tajuk lagu kedua-dua kumpulan yang berkongsi perkataan “Sandiwara”.

Dari segi muzik, FUGŌ dan Midnight Fusic menjanjikan lagu-lagu yang menjadi pilihan peminat, termasuk beberapa karya yang jarang dipersembahkan secara langsung kerana kekangan masa dalam persembahan biasa.

Selain muzik, kedua-dua kumpulan turut memberi perhatian terhadap aspek visual bagi memastikan Panggung Sandiwara tampil sebagai sebuah pengalaman konsert yang lebih menyeluruh. Konsep visual tersebut akan diterapkan sejak fasa pra-pengumuman, bahan promosi, pengumuman konsert dan diteruskan sehingga persembahan berlangsung.

Vokal utama Midnight Fusic, Arif Kamarudin, menyifatkan peluang yang diberikan oleh Rockstation sebagai ruang untuk mereka merealisasikan sebuah persembahan yang diharapkan mampu meninggalkan kesan kepada penonton untuk tempoh yang lama.

FUGŌ yang ditubuhkan pada 2019 di Kuala Lumpur terdiri daripada Hakim Kamal sebagai vokal utama, gitar dan flugelhorn, Kayrol Ami sebagai pemain bass dan vokal latar, serta Fai yang mengendalikan kibod, synthesizer, sequence playback dan vokal latar.

Kumpulan tersebut mula mendapat perhatian dalam kalangan peminat muzik indie tempatan menerusi pendekatan muzik Nu-Vintage mereka yang tersendiri. Lagu Lagu Balad Kala Hujan antara karya yang membantu memperkenalkan identiti muzik FUGŌ kepada pendengar.

Sementara itu, Midnight Fusic yang mula bertapak dalam industri muzik tempatan sejak 2013 ketika anggotanya masih di usia remaja kini sudah mempunyai pengalaman lebih sedekad dalam arena muzik.

Kumpulan tersebut kini terdiri daripada Arif Kamarudin sebagai vokal utama dan gitar, Adrian Daniel sebagai vokal utama dan gitar, serta Firdaus Azmi sebagai pemain bass.

Sepanjang perjalanan mereka, Midnight Fusic telah menghasilkan pelbagai lagu yang mendapat tempat dalam kalangan peminat termasuk Caramel Cream, Time Machine, Under The Weather, Cahayaku Lovesick dan Heart of May.

Kepelbagaian muzik Midnight Fusic yang merangkumi elemen bossa nova, indie rock dan garage rock, selain melodi yang menarik serta permainan muzik yang mengasyikkan, menjadi antara kekuatan utama kumpulan tersebut.

Dengan karakter muzik, tenaga persembahan dan bahasa visual yang berbeza, Panggung Sandiwara: FUGŌ & Midnight Fusic bukan sekadar sebuah konsert yang menghimpunkan dua nama dalam satu pentas.

Sebaliknya, konsert ini dirangka sebagai sebuah pengalaman langsung yang meraikan identiti unik kedua-dua kumpulan, di samping memberi peluang kepada peminat menyaksikan gandingan muzik yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Tiket Panggung Sandiwara: FUGŌ & Midnight Fusic ditawarkan dalam dua kategori utama. Kategori PENTAS secara free standing berharga RM89 bagi fasa jualan awal dan RM139 untuk fasa jualan umum.

Kategori SANDIWARA pula merupakan premium seating dengan harga RM129 bagi fasa jualan awal dan RM189 untuk fasa jualan umum.

Peminat turut boleh mendapatkan tiket nilai tambahan EXCLUSIVE SESSION pada harga RM150 yang menawarkan peluang menyertai sesi Meet & Greet serta beberapa pengalaman dan akses eksklusif sebelum konsert bermula.

Jualan tiket Panggung Sandiwara: FUGŌ & Midnight Fusic telah bermula pada 27 Ogos 2026, jam 10.00 pagi menerusi laman web rasmi panggungsandiwara.com.

Panggung Sandiwara: FUGŌ & Midnight Fusic akan berlangsung pada 17 Oktober 2026 di Odeon KL, Kuala Lumpur. Dengan dua kugiran yang mempunyai identiti dan sejarah muzik berbeza disatukan dalam satu pentas, konsert ini dijangka menjadi antara acara muzik tempatan yang menarik perhatian peminat muzik alternatif dan indie Malaysia.