Dua nama yang cukup dekat dengan perjalanan muzik alternatif Malaysia, OAG dan The Times, bakal berkongsi pentas menerusi Disko Dansa Generasiku yang akan berlangsung pada 10 Oktober 2026 di Odeon KL.

Pertemuan ini bukan sekadar menggandingkan dua band dalam satu konsert. Ia menemukan dua zaman yang saling berkait dalam sejarah muzik alternatif tempatan, daripada ledakan alternative rock Malaysia pada era 1990-an kepada kebangkitan generasi indie Melayu pada pertengahan 2000-an.

Ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 1992 sebagai Old Automatic Garbage, OAG muncul ketika landskap muzik arus perdana Malaysia masih kuat dengan rock, pop dan balada. Dengan alternative rock, fuzzy guitars, melodi pop dan imej yang cukup berbeza ketika itu, OAG pantas mencipta identiti mereka sendiri.

Album sulung Old Automatic Garbage yang dilancarkan pada 1994 melahirkan lagu 60’s TV, yang kemudiannya menjadi antara karya paling sinonim dengan era awal OAG. Di bawah Positive Tone, band ini menjadi sebahagian daripada gelombang muzik alternatif tempatan yang berjaya menembusi khalayak lebih luas.

Album tersebut dilaporkan mencapai status triple platinum, manakala OAG turut dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik di Anugerah Industri Muzik 1996.

Perjalanan muzik OAG kemudian berkembang dengan karya-karya dalam Bahasa Melayu, termasuk Generasiku, yang mengukuhkan kedudukan mereka sebagai salah satu band yang menjadi soundtrack kepada generasi 1990-an dan awal 2000-an.

Menjelang konsert ini, vokalis OAG, Radhi, menyifatkan Disko Dansa Generasiku sebagai sebuah pertemuan yang membawa makna besar buat perjalanan muzik tempatan.

“Konsert ini bukan sekadar tentang OAG atau The Times, tetapi tentang perjalanan muzik alternatif Malaysia yang saling bersambung dari satu generasi ke generasi yang lain. Kami mahu penonton datang bukan sahaja untuk menyanyi bersama, tetapi untuk menghidupkan semula memori dan meraikan muzik yang pernah menjadi sebahagian daripada hidup mereka.”

Hubungan antara OAG dan The Times pula bermula pada awal 2000-an apabila dua beradik, Naza dan Mono, menjadi sebahagian daripada barisan OAG, dengan Naza sebagai gitaris dan Mono di posisi bass.

Selepas meninggalkan OAG dan memilih untuk meneroka arah muzik sendiri, kedua-duanya menubuhkan The Times pada 31 Ogos 2004.

The Times tidak muncul sebagai OAG versi baharu. Sebaliknya, mereka membina dunia muzik tersendiri dengan campuran British pop, mod, psychedelia dan rock ‘n’ roll, sambil membawa sensibiliti Melayu yang kuat menerusi bahasa, humor dan penulisan lagu.

Album sulung Soda Pop Rok ‘N’ Roll yang dilancarkan pada November 2004 memperkenalkan lagu seperti Gadisku Dalam Koma, Pesona Algebra dan Mawar Liar. Album tersebut sekali gus meletakkan The Times sebagai salah satu nama yang cukup dekat dengan kebangkitan budaya indie Melayu pada pertengahan 2000-an.

The Times kemudiannya berada dalam kelompok Top 5 Artis Baru Terbaik AIM 2005, sebelum meneruskan perjalanan menerusi album Nada Melankolik Malaya dan Modern Minimalis Glamour. Karya-karya tersebut membantu membina identiti serta cult following The Times tersendiri.

Bagi Naza, konsert ini merupakan peluang untuk menghubungkan semula dua generasi peminat yang membesar dengan muzik berbeza tetapi berkongsi semangat yang sama.

“Ramai yang membesar dengan OAG pada era 90-an, dan ramai juga yang menemui muzik melalui The Times pada tahun 2000-an. Konsert ini ibarat satu titik pertemuan antara dua generasi iaitu generasi yang membesar dengan OAG dan The Times dan juga generasi baru yang belum pernah mendengar lagu-lagu OAG dan The Times. Kami berharap penonton dapat merasai perjalanan itu dan membawa pulang kenangan baharu.”

Naza turut membayangkan bahawa The Times akan tampil dengan beberapa elemen yang berbeza daripada persembahan biasa.

“Kami sedang merancang beberapa perkara yang istimewa untuk malam itu. Ada kejutan yang berkait dengan lagu, susunan persembahan dan mungkin juga beberapa momen yang peminat sendiri tidak jangkakan. Apa yang pasti, kami mahu jadikan Odeon KL sebagai tempat di mana sesuatu yang unik akan berlaku.”

Daripada 60’s TV dan Generasiku kepada Soda Pop Rok ‘N’ Roll dan Nada Melankolik Malaya, Disko Dansa Generasiku membawa dua chapter penting muzik alternatif Malaysia ke satu pentas.

Bagi mereka yang membesar dengan kaset, CD, majalah muzik dan gig underground, malam 10 Oktober bakal menjadi peluang untuk kembali kepada sebuah zaman. Bagi generasi yang menemui lagu-lagu ini kemudian pula, ia menjadi peluang untuk mengalami sendiri muzik yang membantu membentuk budaya alternatif tempatan.

Tiket ditawarkan dalam dua kategori. Tiket Standing berharga RM139 dan masih boleh didapati, manakala tiket Seated berharga RM189 telah habis terjual.

Untuk maklumat terkini mengenai konsert serta pembelian tiket, layari www.oagthetimes.com.