KUALA LUMPUR — Belum sempat menjalani kempen promosi berskala besar di Malaysia, lagu terbaharu Mila Jirin, “Cukup Sudah Cukup”, sudah mula mendapat perhatian pendengar di Indonesia apabila dimainkan di beberapa stesen radio utama negara itu termasuk Gen FM dan Prambors FM. Lagu yang juga merupakan single kedua daripada album baharu Mila Jirin itu dijadualkan dilancarkan secara rasmi pada 4 September ini. Perkembangan tersebut dilihat sebagai permulaan positif buat Mila dalam usaha memperkenalkan semula dirinya sebagai penyanyi, selain membuka langkah untuk menembusi pasaran muzik Indonesia. Berbeza dengan single pertama, “Tersimpan Dalam Hati”, pelancaran “Cukup Sudah Cukup” tidak disertai sidang media atau acara pelancaran khas di Malaysia. Sebaliknya, lagu itu diedarkan untuk pasaran Malaysia dan Indonesia secara berperingkat sebagai sebahagian daripada strategi memperkenalkan karya daripada album baharunya kepada pendengar di kedua-dua negara. Bagi Mila, peluang apabila lagunya mula mendapat putaran di radio Indonesia memberikan makna tersendiri kerana perjalanan muziknya di negara tersebut masih berada pada peringkat awal. “Saya sangat bersyukur apabila dimaklumkan ‘Cukup Sudah Cukup’ sudah mula dimainkan di beberapa stesen radio di Indonesia termasuk Gen FM dan Prambors FM. “Saya sedar perjalanan saya di Indonesia masih terlalu awal. Ramai mungkin belum mengenali siapa Mila Jirin, jadi apabila lagu dan suara saya terlebih dahulu diberikan ruang untuk didengarkan di sana, bagi saya itu satu permulaan yang sangat bermakna,” katanya. “Cukup Sudah Cukup” turut menampilkan kolaborasi Mila bersama komposer Indonesia, Ilham Baso, manakala liriknya dihasilkan oleh Aisah Rizky. Keseluruhan proses produksi audio lagu berkenaan dilakukan di Jakarta, termasuk susunan muzik, rakaman vokal, pengarahan vokal, mixing dan mastering. Menurut Mila, kerjasama bersama Ilham Baso membuka ruang untuk beliau meneroka lebih banyak peluang kolaborasi bersama penggiat muzik Indonesia. “Kerjasama dengan Ilham Baso bermula daripada muzik. Saya sukakan cara beliau memahami emosi sesebuah lagu dan bagaimana sesuatu melodi boleh dibawa supaya lebih dekat dengan pendengar. “Daripada situ, saya melihat ada ruang untuk saya meneroka lebih banyak kolaborasi di Indonesia. Fokus saya bukan untuk datang dengan cerita siapa saya di Malaysia, tetapi saya mahu pendengar di sana mengenali saya melalui lagu dan nyanyian terlebih dahulu,” jelasnya. Selain rakaman lagu, muzik video rasmi “Cukup Sudah Cukup” turut menjalani penggambaran sepenuhnya di Jakarta pada pertengahan Ogos lalu. Muzik video itu diterbitkan oleh Bizmedia Marketing bersama pasukan produksi Indonesia dan diarahkan oleh Wahyu Taufani Prialangga. Muzik video rasmi “Cukup Sudah Cukup” boleh ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music Videos pada 4 September jam 3 petang. Lagu berkenaan turut tersedia di Spotify, Apple Music, YouTube Music dan pelbagai platform penstriman digital lain pada tarikh yang sama. Mila juga dijadualkan meneruskan langkahnya di Indonesia menerusi siri pertama jelajah radio di Jakarta dan Bandung pada Oktober ini. Kunjungan tersebut bakal memberi peluang kepada beliau untuk bertemu stesen radio dan media tempatan, selain memperkenalkan dengan lebih dekat karya serta perjalanan muzik terbaharunya. “Saya mahu pergi sendiri dan bertemu dengan radio serta media di sana. Saya mahu memperkenalkan muzik saya secara perlahan-lahan dan membina hubungan dengan mereka. “Saya tidak meletakkan sasaran untuk terus dikenali dalam masa yang singkat. Saya mahu bina perjalanan ini dengan betul. Kalau pendengar Indonesia mula mengenali Mila Jirin melalui lagu dan suara terlebih dahulu, itu sudah menjadi satu permulaan yang sangat baik untuk saya,” katanya. “Cukup Sudah Cukup” merupakan lagu kedua daripada album baharu Mila Jirin yang dijadualkan dilancarkan pada penghujung tahun ini. Album berkenaan menandakan fasa baharu dalam perjalanan muzik Mila selepas kembali aktif dalam dunia rakaman dan bakal menghimpunkan beberapa karya serta kolaborasi melibatkan tenaga kreatif dari Malaysia dan Indonesia. Single pertama, “Tersimpan Dalam Hati”, sebelum ini berjaya menembusi Top 30 carta ERA 40, sekali gus menjadi pembuka kepada perjalanan muzik baharunya. Menerusi “Cukup Sudah Cukup”, Mila kini memperluaskan langkah ke Indonesia dengan harapan karya dan vokalnya dapat diterima secara lebih meluas di rantau ini. “Malaysia akan sentiasa menjadi rumah saya dan tempat perjalanan seni saya bermula. Tetapi saya percaya muzik kita mempunyai ruang yang lebih luas untuk bergerak di rantau ini. “Album ini sangat penting kepada saya kerana ia menandakan satu fasa baharu selepas sekian lama. Saya mahu setiap lagu mempunyai perjalanan dan ceritanya sendiri. Kalau ‘Cukup Sudah Cukup’ menjadi antara lagu yang membuka pintu perjalanan saya di Indonesia, saya sangat bersyukur,” katanya. Post navigation Pak Nil Perkenal K4LAM, Gabung AI dan Suara Manusia Menerusi MUSA “STUNTMAN”: Killa Driz Ajak Pendengar Berani Ambil Risiko