Petaling Jaya, Selangor – 27 Ogos 2026 — Nurul Natrah binti Aziz @ Awang, pengasas Gembur Education, dinobatkan sebagai juara Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD) Edisi Ketujuh yang berlangsung pada 26 Ogos 2026 di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya. Nurul Natrah, seorang usahawan OKU Autisme dan ADHD, berjaya menduduki tempat pertama dalam pusingan akhir program tersebut selepas bersaing bersama sembilan usahawan OKU lain. Kejayaan itu menyerlahkan potensi golongan OKU dalam bidang keusahawanan, selain membuktikan bahawa sokongan, latihan dan bimbingan yang berstruktur mampu membantu mereka mengembangkan perniagaan secara lebih berdaya saing. Senarai pemenang utama SAY LEAD Edisi Ketujuh: 🥇 Tempat Pertama – Nurul Natrah binti Aziz @ AwangOKU: Autisme & ADHDPerniagaan: Gembur Education 🥈 Tempat Kedua – Mohd Kamal Surin bin AbdullahOKU: FizikalPerniagaan: Nyaman Juice 🥉 Tempat Ketiga – Farah Hana binti Faizul & Fatnin Qistina binti FirdusPerniagaan: Loomsydoo Studio Pusingan akhir SAY LEAD Edisi Ketujuh menghimpunkan 10 usahawan OKU terbaik yang dipilih daripada 20 penyertaan pada peringkat awal. Sejak Mei 2026, para peserta telah mengikuti pelbagai kursus dan sesi bimbingan yang merangkumi pengurusan kewangan, pembinaan platform digital, pengurusan perniagaan, strategi menjana pendapatan melalui karnival, lawatan industri ke Mydin HQ serta sesi perkongsian bersama alumni. Program SAY LEAD merupakan inisiatif keusahawanan anjuran Selangor Youth Community (SAY) yang memberi tumpuan kepada pembangunan potensi usahawan OKU di Selangor. Melalui latihan dan bimbingan yang disusun secara sistematik, program tersebut membantu peserta memperkukuh kemahiran pengurusan perniagaan, meningkatkan keupayaan digital serta membuka ruang kepada mereka untuk memperluas pasaran. Kesemua lima pemenang utama SAY LEAD Edisi Ketujuh turut diberikan peluang untuk meneruskan perkembangan perniagaan melalui SAY LEAD+. Program bimbingan selama enam bulan itu memberi fokus kepada penerokaan pasaran baharu, pendigitalan perniagaan serta peluang mendapatkan reruai secara percuma, sekali gus membantu peserta meningkatkan keterlihatan dan potensi jualan mereka. Kejayaan SAY LEAD Edisi Ketujuh turut mencerminkan kepentingan mewujudkan ekosistem keusahawanan yang lebih inklusif dengan memberikan peluang dan sokongan kepada golongan OKU. Inisiatif seperti ini bukan sahaja membantu peserta membina perniagaan yang lebih kukuh, malah membuka ruang untuk mereka memainkan peranan lebih besar dalam aktiviti ekonomi dan pembangunan komuniti. Dengan penyertaan yang semakin kompetitif serta kesinambungan melalui SAY LEAD+, program ini dijangka terus menjadi platform penting dalam melahirkan lebih ramai usahawan OKU yang berdaya tahan, inovatif dan mampu berkembang dalam persekitaran perniagaan yang semakin mencabar. Post navigation TV AlHijrah Semarakkan Cinta Rasul dan Semangat Patriotisme Menerusi Sajian Istimewa Ogos hingga September 2026