KUALA LUMPUR, 18 Ogos 2026 — Magnum Opus ialah istilah Latin yang merujuk kepada karya terpenting yang dihasilkan oleh seseorang seniman, sama ada dalam bidang sastera, penulisan, filem, seni halus mahupun muzik. Ia menggambarkan himpunan karya yang bukan sahaja mempunyai nilai seni, malah menyumbang kepada perkembangan sesuatu genre serta mendapat tempat dalam kalangan khalayak. Dalam konteks seorang seniman yang telah berkarya selama lima dekad, Magnum Opus M. Nasir bukan sekadar merujuk kepada satu karya tertentu, sebaliknya menjadi manifestasi kepada keseluruhan legasi yang ditinggalkan menerusi karya, pemikiran dan sumbangannya terhadap dunia seni. Bermula pada 1979 hingga 2026, perjalanan seni Dato’ M. Nasir telah merentasi lima dekad sebagai penyanyi, komposer, penulis lirik dan penerbit, dengan lebih daripada 2,000 karya muzik yang merangkumi pelbagai genre serta generasi. Sepanjang tempoh tersebut, beliau bukan sekadar menghasilkan lagu, malah turut membentuk sebahagian daripada identiti muzik Melayu moden. Karya-karyanya menjadi suara kepada pelbagai zaman, manakala pendekatan kreatif dan pemikirannya terus memberi pengaruh terhadap perkembangan muzik tanah air. Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5 meneruskan kesinambungan dua produksi terdahulu, iaitu Magnum Opus Siri 1: Kembara Ke Solo yang dipentaskan pada 2017 di MATIC, yang menelusuri perjalanan seni M. Nasir daripada era Kembara sehingga penghasilan album solo, serta Magnum Opus Siri 2: Search, Wings & Rock ’N’ Roll pada 2019 di Auditorium DBKL yang menampilkan forum rock bersama tokoh industri seperti Dato’ Awie, Dato’ Aziz Bakar dan Allahyarham Bob Lokman. Bagi edisi Dekad Ke-5, Magnum Opus kembali dalam bentuk sebuah persembahan yang menelusuri lima dekad penciptaan, perubahan zaman serta evolusi pemikiran dan muzik Dato’ M. Nasir. Produksi ini dirangka sebagai sebuah pengalaman yang meraikan perjalanan panjang beliau dalam industri muzik sambil memperlihatkan sisi karya dan pemikiran yang terus relevan merentas generasi. Kelainan utama produksi kali ini terletak pada pementasan semula karya-karya ikonik Dato’ M. Nasir menerusi kolaborasi bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan. Sebanyak 30 karya pilihan akan diberi nafas baharu melalui susunan simfoni oleh Mohd Rafi Shafie, pengarah muzik berpengalaman yang sebelum ini turut menjadi antara tulang belakang kepada pelbagai produksi dan persembahan Dato’ M. Nasir. Dalam persembahan berdurasi kira-kira 150 minit itu, vokal dan tenaga pentas Dato’ M. Nasir akan digabungkan dengan kekuatan pemuzik profesional Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Encik Eric Lee Yin Fah. Gabungan tersebut dijangka menghasilkan pengalaman muzikal yang lebih sinematik, dinamik dan emosional, di samping memberikan perspektif baharu terhadap karya-karya yang telah dikenali serta dekat dengan masyarakat selama beberapa dekad. Setiap karya yang dipilih mewakili era dan fasa penting dalam perjalanan seni Dato’ M. Nasir. Persembahan ini sekali gus memberi peluang kepada penonton untuk menelusuri evolusi penulisan lirik, penciptaan melodi dan susunan muzik beliau dalam sebuah pengalaman yang dirangka khusus untuk pentas simfoni. Dari sudut artistik, Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5 turut mengangkat pendekatan surrealisme yang disuntik dengan elemen falsafah dan simbolisme, selari dengan karakter seni Dato’ M. Nasir yang terkenal menerusi karya-karya puitis, imaginatif dan sarat dengan lapisan makna. Pendekatan ini bukan sahaja membentuk bahasa visual persembahan, malah menjadi sebahagian daripada pengalaman keseluruhan konsert. Melalui pendekatan tersebut, penonton diajak untuk melihat karya-karya Dato’ M. Nasir bukan semata-mata sebagai lagu, tetapi sebagai cerminan perjalanan pemikiran dan ekspresi seorang seniman. Ismail Shariff merupakan pencetus idea asal Magnum Opus yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah siri persembahan bagi meraikan karya serta perjalanan seni Dato’ M. Nasir. Bagi edisi Dekad Ke-5 ini, Shabromo menerajui produksi sebagai Pengarah Konsert dan Artistik. Beliau bertanggungjawab membentuk hala tuju kreatif serta keseluruhan bahasa visual dan persembahan agar selari dengan visi Magnum Opus. Keon Omar selaku Penerbit Eksekutif konsert ini berharap penganjuran tersebut dapat terus memelihara dan mengangkat warisan seni muzik Melayu, di samping membuka ruang kepada generasi pemuzik serta pencipta muda untuk mengenali dan menghargai kedalaman karya seorang tokoh yang telah memberikan sumbangan besar kepada industri muzik tanah air. Pemilihan Panggung Sari, Istana Budaya sebagai lokasi persembahan pula amat bertepatan dengan karakter dan skala produksi ini, khususnya dalam mempertemukan seni persembahan pentas dengan kekuatan sebuah orkestra simfoni dalam ruang yang sinonim dengan persembahan seni bertaraf tinggi. Sepanjang perjalanan seninya, Dato’ M. Nasir telah menerima pelbagai pengiktirafan utama industri termasuk Anugerah Juara Lagu (AJL), Anugerah Industri Muzik (AIM), Anugerah Planet Muzik (APM) serta pengiktirafan daripada MACP sebagai antara pencipta lagu terunggul negara. Namun, legasi seorang seniman tidak hanya terletak pada jumlah karya atau deretan anugerah yang diterima. Nilai sebenar legasi Dato’ M. Nasir terletak pada karya-karya yang terus didengar, dinyanyikan, dimainkan, ditafsir dan diwariskan kepada generasi seterusnya. Lima dekad perjalanan beliau membuktikan bahawa karya yang lahir daripada kekuatan seni dan pemikiran mampu melangkaui zaman serta terus mempunyai tempat dalam jiwa masyarakat. Justeru, Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5 hadir bukan sekadar sebagai sebuah persembahan hiburan, tetapi sebagai sebuah apresiasi budaya terhadap khazanah muzik tanah air. Ia menjadi manifestasi keraian terhadap perjalanan seorang seniman, selain menjadi usaha untuk mempertemukan warisan muzik lima dekad dengan generasi masa kini. Selain persembahan utama, beberapa program sampingan turut akan diadakan di ruang legar Istana Budaya, termasuk pameran dan jualan karya seni kanak-kanak serta sesi bual bicara berkaitan penerbitan buku yang mengangkat karya muzik M. Nasir. Program-program ini diadakan sebagai pelengkap kepada pengalaman Magnum Opus, di samping memperluas ruang apresiasi terhadap seni, muzik dan legasi budaya kepada khalayak. Post navigation Ernie Zakri Buka Babak Baharu Menerusi “Sejambak Bunga”