PETALING JAYA, 17 Ogos 2026 — Seramai 100 kanak-kanak bakal menzahirkan pandangan dan imaginasi mereka mengenai Malaysia menerusi pertandingan melukis dan mewarna sempena Artsense Carnival 2026: Colours of Malaysia, sebuah program yang menggabungkan elemen seni, budaya dan pelancongan dalam usaha menyemarakkan semangat cintakan negara menjelang sambutan Bulan Kebangsaan. Karnival anjuran Artsense Edu Sdn Bhd (Artsense) dengan kerjasama Megah Rise Mall itu turut menerima sokongan strategik Tourism Selangor Sdn Bhd (Tourism Selangor) dalam usaha memperkenalkan warisan budaya serta destinasi pelancongan tempatan kepada generasi muda menerusi pendekatan kreatif dan dekat dengan komuniti. Pengasas dan Pengarah Artsense, Shawn Yap Chun Siong, berkata program tersebut bukan sekadar menjadi platform untuk mengetengahkan bakat seni kanak-kanak, malah memberi peluang kepada mereka mengenali serta menghargai identiti Malaysia melalui karya yang dihasilkan. Menurut beliau, setiap karya yang dipamerkan menggambarkan perspektif kanak-kanak terhadap Malaysia, termasuk kepelbagaian budaya, kehidupan masyarakat serta lokasi dan tarikan yang menjadi kebanggaan negara. “Melalui platform ini, kami mahu memberi ruang kepada kanak-kanak untuk menyampaikan cerita mereka tentang Malaysia. Pada masa sama, mereka dapat mengenali dengan lebih dekat kepelbagaian budaya, warisan dan keunikan negara melalui proses berkarya,” katanya. Antara pengisian utama karnival ialah pertandingan melukis dan mewarna bertemakan “Malaysia Through Your Eyes” yang dianjurkan bersama JCI Petaling Jaya. Pertandingan itu melibatkan 100 peserta muda yang akan menterjemahkan pandangan dan imaginasi mereka mengenai Malaysia melalui hasil seni visual. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling, berkata penglibatan agensi tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperluaskan promosi pelancongan menerusi pendekatan yang berteraskan komuniti dan keluarga. Beliau berkata, pelancongan tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai aktiviti mengunjungi sesebuah destinasi, sebaliknya turut merangkumi pengalaman mengenali sejarah, budaya dan identiti yang membentuk sesuatu tempat. “Program seperti ini memberi peluang kepada generasi muda memperkenalkan Malaysia daripada perspektif mereka sendiri, di samping menggalakkan keluarga meneroka destinasi menarik yang terdapat di Selangor dan seluruh negara,” katanya. Selain menjadi lokasi penganjuran, Megah Rise Mall turut menyediakan ruang kepada masyarakat untuk menyertai pelbagai aktiviti berkaitan seni dan budaya. Inisiatif tersebut sekali gus mewujudkan platform yang menghimpunkan keluarga, komuniti kreatif dan orang ramai dalam suasana yang lebih interaktif. Karnival itu turut mendapat sokongan rakan strategik lain termasuk Golden Destination (GD), yang membantu pelaksanaan Sun Bear Workshop. GD juga bekerjasama dengan Artsense Studio dalam membimbing kanak-kanak daripada National Autism Society of Malaysia (NASOM) sepanjang aktiviti seni berlangsung. Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Artsense Studio, karya seni yang dihasilkan oleh komuniti autisme turut akan dipamerkan kepada pengunjung. Penglibatan tersebut mencerminkan usaha penganjur menyediakan ruang yang lebih inklusif kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk berkarya dan berkongsi bakat. Selain penyertaan kanak-kanak, Artsense Carnival 2026 turut membuka peluang kepada artis tempatan serta usahawan dalam industri kreatif untuk mempamerkan hasil karya masing-masing. Penglibatan tersebut diharap dapat memperluaskan jaringan komuniti kreatif serta menggalakkan lebih banyak aktiviti berasaskan seni dan budaya. Penganjuran Artsense Carnival 2026 juga dilihat selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 yang memberi penekanan terhadap usaha memperkukuh promosi warisan budaya dan destinasi pelancongan tempatan melalui penglibatan masyarakat. Artsense menyasarkan karnival tersebut dapat diperluaskan ke beberapa negeri lain termasuk Melaka, Johor dan Pulau Pinang pada masa hadapan. Langkah itu diharap dapat menjadikan Artsense Carnival sebagai acara tahunan yang meraikan kepelbagaian budaya, memperkenalkan khazanah tempatan serta mencungkil bakat kreatif kanak-kanak dari seluruh negara. Post navigation KamiSempoi Premier Academy Bakal Lahirkan Penstrim Langsung Profesional