KamiSempoi International Agency bakal memperkukuh usaha pembangunan bakat menerusi penubuhan KamiSempoi Premier Academy.

Platform latihan itu diwujudkan untuk melahirkan generasi baharu penstrim langsung yang mempunyai kemahiran dan standard profesional.

Akademi tersebut akan beroperasi di pejabat KamiSempoi di Quill City Mall, Kuala Lumpur.

Ia bakal menjadi pusat latihan dan pembangunan untuk individu yang benar-benar serius mahu menjadikan penstriman langsung sebagai kerjaya.

Pengambilan ke KamiSempoi Premier Academy akan dilakukan melalui proses temu duga dan saringan.

Calon akan dinilai berdasarkan minat, kebolehan berkomunikasi, kesungguhan dan komitmen untuk membina kerjaya sebagai penstrim langsung.

Ketua Pegawai Eksekutif KamiSempoi International Agency, Chin Swee berkata, latar belakang seseorang bukan faktor utama dalam pemilihan peserta.

“Kami tidak kisah mereka datang daripada latar belakang apa, sama ada penyanyi, pengacara, pelajar, suri rumah atau orang biasa.

“Perkara paling penting adalah mereka mahu belajar, bekerja dan benar-benar serius untuk menjadikan penstriman langsung sebagai kerjaya,” katanya.

KamiSempoi Premier Academy akan menawarkan kurikulum khusus dengan tempoh pembangunan selama setahun.

Antara penanda aras yang ditetapkan ialah pencapaian satu juta diamond dalam tempoh setahun sebagai salah satu syarat untuk menamatkan program.

Peserta yang menunjukkan prestasi dan perkembangan cemerlang berpotensi mencapai sasaran lebih awal.

Tempoh sekitar enam bulan dilihat sebagai antara perkembangan terpantas yang boleh dicapai oleh seseorang hos.

Kurikulum akademi akan merangkumi latihan teknikal, pembangunan kandungan, penampilan hos, dandanan diri, persembahan dan komunikasi.

Peserta turut diberikan latihan berkaitan penyediaan siaran langsung, interaksi dengan penonton, hiburan dan pembangunan prestasi LIVE.

Menurut Chin Swee, peserta bukan sekadar hadir untuk belajar, tetapi perlu membuktikan kemampuan mereka melalui pencapaian sebenar.

“Kami mempunyai kurikulum dan mereka perlu belajar serta bekerja pada masa yang sama.

“Kalau ada yang boleh berkembang dalam tempoh enam bulan dan mencapai sasaran, itu sangat baik. Namun, program ini dibangunkan untuk tempoh setahun,” katanya.

Jika peserta gagal mencapai sasaran, mereka perlu melalui penilaian dan latihan seterusnya.

Langkah itu bertujuan memastikan setiap graduan benar-benar layak dan bersedia untuk membina kerjaya sebagai penstrim langsung profesional.

KamiSempoi International Agency turut mahu meningkatkan standard industri penstriman langsung di Malaysia.

Antara aspek yang diberikan perhatian ialah penyediaan siaran, kualiti kamera, komputer, sistem audio, pencahayaan, penampilan, kandungan dan komunikasi.

Menurut Chin Swee, perkembangan platform Douyin di China menunjukkan potensi industri penstriman langsung apabila kandungan, teknologi dan produksi diberikan perhatian serius.

Beliau berkata, siaran langsung di China sudah dihasilkan seperti rancangan televisyen, termasuk konsert dan persembahan dengan skala produksi besar.

Justeru, penstrim langsung Malaysia perlu bergerak ke arah yang lebih profesional untuk bersaing dalam industri tersebut.

Menerusi KamiSempoi Premier Academy, agensi berkenaan berharap dapat melahirkan generasi baharu yang bukan sahaja mampu menarik tontonan, tetapi juga menghasilkan persembahan berkualiti dengan standard produksi tinggi.