Safi sekali lagi memperkukuhkan kedudukannya dalam industri kecantikan tempatan menerusi pelancaran semula rangkaian Safi Youth Gold Rania yang kini tampil dengan wajah baharu, formulasi dipertingkatkan dan kempen inspirasi bertemakan Semarakkan Seri Keremajaan.

Kempen ini membawa pendekatan yang lebih menyeluruh dengan menekankan bahawa kecantikan sebenar bukan sekadar pada penampilan luaran, tetapi turut merangkumi keyakinan diri, kesejahteraan emosi dan kekuatan dalaman wanita dalam mengharungi pelbagai fasa kehidupan.

Seiring pelancaran semula rangkaian tersebut, Safi memperkenalkan teknologi Peptida Kolagen yang diperkasakan bagi membantu meningkatkan keanjalan dan seri kulit. Selain itu, jenama berkenaan turut melancarkan beberapa produk inovatif termasuk PDRN Booster Repair Serum, serum PDRN Spicule Halal pertama di Malaysia, CycloPeptide Water Elixir yang menampilkan teknologi CycloPeptide pertama di negara ini serta Beauty Miracle Oil.

Kesemua produk ini dibangunkan khusus untuk memenuhi keperluan kulit wanita Malaysia dengan mengambil kira keadaan cuaca tropika, sekali gus menggabungkan penyelidikan saintifik bertaraf global dengan pemahaman terhadap keperluan pengguna tempatan.

Menurut Safi, rangkaian produk baharu ini disokong oleh ujian klinikal yang menunjukkan ia mampu membantu menjadikan kulit kelihatan lebih anjal, cerah dan berseri dalam tempoh seawal tiga hari penggunaan.

Sebagai sebahagian daripada pelancaran semula ini, Safi turut menghidupkan kembali nama Rania yang telah lama menjadi antara identiti ikonik jenama tersebut. Nama itu terus dikekalkan sebagai lambang kecantikan, keyakinan dan keanggunan wanita yang sentiasa relevan mengikut peredaran masa.

Pakar Jenama dan Tinjauan Maklumat Safi Malaysia, Kazlina Mohd Kassim berkata, hasil kajian dan maklum balas daripada pengguna mendapati ramai wanita bukan sekadar mengimpikan kulit yang kelihatan muda, sebaliknya mahu mengembalikan rasa yakin, semangat dan penghargaan terhadap diri sendiri.

Beliau menjelaskan bahawa wanita masa kini sering mengutamakan keluarga, kerjaya dan tanggungjawab harian sehingga mengabaikan keperluan untuk menjaga kesejahteraan diri. Justeru, kempen Semarakkan Seri Keremajaan diwujudkan bagi menggalakkan wanita memberi ruang kepada diri sendiri untuk kembali menemui kekuatan dan keyakinan yang mungkin semakin pudar.

Bagi merealisasikan mesej tersebut, Safi memilih 100 wanita Malaysia untuk berkongsi pengalaman hidup mereka yang penuh dengan cabaran, pengorbanan dan detik perubahan. Daripada jumlah itu, lima peserta dipilih untuk mengikuti program transformasi yang memberi fokus kepada pembangunan diri, kasih sayang terhadap diri sendiri dan pembinaan keyakinan.

Perjalanan inspirasi mereka kemudian diterjemahkan dalam siri kandungan yang memaparkan kisah sebenar wanita Malaysia. Antara isu yang diketengahkan ialah cabaran perkahwinan dengan jurang usia pasangan, kehidupan sebagai ibu sepenuh masa, perubahan selepas bergelar ibu, pengalaman sebagai ibu tunggal serta usaha membina semula keyakinan diri selepas melalui pelbagai dugaan.

Dalam majlis sama, pelakon dan usahawan terkenal, Fasha Sandha diumumkan sebagai wajah baharu Safi Youth Gold Rania. Pemilihannya dilihat bertepatan dengan imej wanita moden yang cekal, berdikari dan sentiasa bangkit menghadapi cabaran kehidupan.

Kazlina berkata, perjalanan hidup Fasha mencerminkan semangat yang ingin dibawa menerusi kempen ini, iaitu setiap wanita mempunyai peluang untuk kembali menyerlah tanpa mengira usia atau pengalaman hidup yang dilalui.

Kempen tersebut turut disemarakkan dengan versi baharu lagu Gemilang nyanyian asal Jaclyn Victor yang diberi nafas segar menerusi lirik baharu. Lagu itu menjadi simbol kepada perjalanan wanita dalam menghargai diri sendiri dan membuktikan bahawa setiap fasa kehidupan mampu menjadi saat paling bermakna.

Melalui pelancaran semula Safi Youth Gold Rania, jenama itu berharap dapat terus memberi inspirasi kepada wanita Malaysia untuk menghargai diri, membina keyakinan dan menyerlahkan kecantikan yang lahir daripada kekuatan dalaman, kerana seri sebenar bermula daripada rasa yakin terhadap diri sendiri.