Citrawarna Speed Festival 2026 membawa pengalaman berbeza kepada pengunjung dengan menggabungkan seni dan budaya Malaysia bersama dunia automotif serta aktiviti interaktif.

Berlangsung dari 23 September hingga 4 Oktober 2026, festival ini diadakan di IOI City Mall Putrajaya, Terminal 1 KLIA dan Hotel Sama-Sama KLIA.

Di IOI City Mall Putrajaya, pengunjung boleh meneroka empat zon utama yang menampilkan pengalaman berkaitan sukan permotoran, pelancongan, seni, budaya dan hiburan.

Antara tarikan yang diketengahkan ialah pertandingan simulator di Zon Colours of Speed, reruai informasi pelancongan, 14 stesen interaktif seni dan kraf serta persembahan kebudayaan.

Festival ini turut membawa elemen budaya dan automotif ke Terminal 1 KLIA dan Hotel Sama-Sama KLIA menerusi persembahan tarian kebudayaan, pameran automotif, permainan tradisional dan sesi simulator perlumbaan.

Salah satu acara utama ialah Colours of Parade yang akan berlangsung pada 3 Oktober di IOI City Mall Putrajaya. Acara tersebut bakal menampilkan kira-kira 1,500 penari dan penghibur kebudayaan dalam sebuah perarakan yang mengetengahkan kepelbagaian budaya Malaysia.

Festival akan melabuhkan tirai pada 4 Oktober menerusi Aktivasi Lamborghini yang dijangka menghimpunkan kira-kira 100 buah kereta berkuasa tinggi.

Menerusi gabungan budaya, pelancongan dan automotif, Citrawarna Speed Festival 2026 turut menjadi antara pendekatan untuk memperkenalkan pengalaman Malaysia yang lebih dinamik kepada pelawat sempena Kempen Melawat Malaysia 2026-2027.