Pentas kreativiti generasi muda Malaysia terus mendapat perhatian menerusi Majlis Anugerah Kreatif Aspirasi Reka (AKAR) 2026 Peringkat Kebangsaan, yang menghimpunkan juara dari setiap negeri dan Wilayah Persekutuan untuk meraikan pencapaian mereka serta merebut anugerah utama di peringkat kebangsaan. Dianjurkan oleh Yayasan KRU, AKAR 2026 merupakan inisiatif nasional yang bertujuan mencungkil dan memperkasa bakat kreatif generasi muda menerusi seni, selain menyemai kesedaran awal mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar. Program ini turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan, institusi pendidikan dan rakan industri. AKAR 2026 mencatatkan sambutan dengan 175,578 penyertaan dari seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 134,217 karya telah dimuat naik, manakala 114,940 karya berjaya melepasi saringan teknikal. Pencapaian tersebut turut mengukuhkan usaha Yayasan KRU dalam menjadikan AKAR sebagai salah satu platform seni dan kreativiti kanak-kanak berskala besar di Malaysia. Program ini juga menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi penyertaan murid prasekolah terbesar dalam pertandingan mewarna. Bagi memperluaskan akses kepada program tersebut, Siri Jelajah AKAR 2026 turut dilaksanakan sejak Julai 2026 dengan melibatkan 40 buah sekolah di seluruh negara melalui kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Perbadanan Tabung Pendidikan Malaysia. Pada peringkat kebangsaan, pertandingan AKAR 2026 mempertandingkan tiga kategori mengikut peringkat umur. Bagi Kategori 1 (4 hingga 6 tahun), Puteri Aisyah Mikayla Binti Tengku Kamalrulzaman dari Tabika Kemas Harmoni, Terengganu muncul sebagai Johan. Tempat kedua disandang Nik Alfariel Sulthan Bin Nik Hazri dari Pasti Fastaqim, Perak, manakala Muhammad Aniq Taqie Bin Mohd Izafi dari Tabika Kemas Bustanul Najwa, Selangor, meraih Tempat Ketiga. Untuk Kategori 2 (Darjah 1 hingga 3), Muhammad Hafikh Bin Faiz dari SK Putrajaya 14 (1), Wilayah Persekutuan Putrajaya dinobatkan sebagai Johan. Mohamad Zairy Ikhwan Bin Mohamad Azhar dari SK Kampung Lindungan, Selangor, menduduki tempat kedua, manakala Nur Aisyah Humaira Binti Muhammad Harun dari SK Kemendor, Melaka, berada di tempat ketiga. Sementara itu, Lein Qian Vi dari SJKC Cheng, Melaka, muncul sebagai Johan bagi Kategori 3 (Darjah 4 hingga 6). Adam Arsyad Bin Mohd Bazlli dari SK Bandar Baru Putera Ipoh, Perak, meraih Naib Johan, manakala Alisha Safiya Binti Faiz dari SK Putrajaya 14 (1), Wilayah Persekutuan Putrajaya, mendapat Tempat Ketiga. Setiap pemenang peringkat kebangsaan menerima trofi dan sijil pencapaian, selain wang tunai yang didepositkan ke dalam akaun Simpan SSPN sebanyak RM3,000 bagi Johan, RM1,500 bagi Naib Johan dan RM750 bagi Tempat Ketiga, hasil sumbangan Yayasan KRU. Majlis tersebut turut mengumumkan pemenang bagi peringkat negeri dan Wilayah Persekutuan. Pemenang Johan, Naib Johan dan Tempat Ketiga menerima masing-masing RM1,000, RM500 dan RM250 yang turut didepositkan ke dalam akaun Simpan SSPN. Menurut Dato’ Norman Abdul Halim, Presiden, Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU, AKAR bukan sekadar pertandingan, sebaliknya menjadi platform untuk mengenal pasti, meraikan dan memperkasa bakat kreatif anak-anak Malaysia sejak usia muda. Peserta dan ibu bapa yang mewakili negeri masing-masing di peringkat kebangsaan turut menerima tajaan penginapan di Palm Garden Hotel Putrajaya, selain pas jemputan ke Wetland Studios Putrajaya untuk aktiviti riadah bersama keluarga sebelum pertandingan. Yayasan KRU turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan program dan strategik AKAR 2026, termasuk PTPTN, Kementerian Pendidikan Malaysia, KEMAS, JPNIN, Astro Audio, Aras Integrasi, Sony Music Entertainment Malaysia serta Palm Garden Hotel Putrajaya atas sokongan dan kerjasama dalam menjayakan program tersebut. Melalui AKAR 2026, Yayasan KRU terus menyediakan ruang kepada generasi muda untuk mengembangkan kreativiti, imaginasi dan bakat seni mereka di peringkat yang lebih luas. Post navigation More Than Mooncakes, AEON MALL Brings the Taste of Malaysia to Mid-Autumn Citrawarna Speed Festival 2026 Tampil Dengan Gabungan Budaya, Automotif dan Pengalaman Interaktif