Penganjur Konsert Revolusi Radja 25 Tahun, DHYAH PRODUCTION bersama INFINITY LOVE CREATIVE VENTURES, mengumumkan bahawa konsert yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 11 Julai 2026 di Stadium Hoki Bukit Jalil akan dipindahkan ke tarikh baharu, iaitu 19 September 2026.

Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira beberapa keadaan semasa, termasuk lambakan konsert dan acara hiburan berskala besar yang berlangsung dalam tempoh sama, selain Pilihan Raya Negeri di Johor yang ketika itu turut memberi kesan kepada perancangan dan pergerakan orang ramai.

Menurut pihak penganjur, penjadualan semula ini dibuat bagi memastikan peminat dapat menikmati pengalaman konsert yang lebih selesa. Dengan tarikh baharu, aspek seperti aliran trafik, parkir dan pergerakan penonton dijangka lebih lancar tanpa bertembung dengan acara besar lain.

Wakil DHYAH PRODUCTION, Mahbub Dermawan berkata, keputusan tersebut dibuat demi memastikan sambutan ulang tahun ke-25 Radja dapat diraikan dalam suasana yang lebih baik.

“Kami percaya tarikh baharu ini memberi peluang kepada lebih ramai peminat untuk hadir dan sama-sama meraikan perjalanan muzik Radja. Kami juga amat menghargai kesabaran dan sokongan yang diberikan sepanjang proses ini. Matlamat kami adalah untuk menghadirkan sebuah konsert yang bukan sahaja menghiburkan, malah meninggalkan kenangan manis buat semua yang hadir,” katanya.

Konsert Revolusi Radja 25 Tahun bakal membawa peminat mengimbau semula perjalanan muzik kumpulan itu menerusi deretan lagu popular yang telah menjadi siulan ramai di Malaysia dan Indonesia selama lebih dua dekad.

Bagi menjadikan sambutan ulang tahun ke-25 ini lebih istimewa, beberapa artis jemputan turut akan membuat penampilan khas di atas pentas bersama Radja. Nama-nama artis berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Penganjur turut mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang terus memberikan sokongan. Semua tiket yang telah dibeli sebelum ini masih sah dan boleh digunakan pada tarikh baharu, 19 September 2026.

Pihak penganjur memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku dan berharap semua peminat dapat bersama-sama memeriahkan Konsert Revolusi Radja 25 Tahun pada September nanti.

Harga tiket bermula daripada RM75 (CAT1 – BBC), RM95 (CAT2 – Yakin), RM155 (GA – Jujur), RM225 (CAT3 – Patah Hati), RM275 (CAT4 – Tulus), RM775 (VIP – Cinderella) dan RM1,200 (Super VIP). Maklumat lanjut mengenai tiket dan perkembangan konsert boleh didapati di laman rasmi myticket.asia.