India Gate Restaurant terus mencipta satu lagi pencapaian apabila cawangannya di Petaling Jaya secara rasmi menerima Pensijilan Halal Malaysia daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Pengiktirafan itu sekali gus menjadikan outlet berkenaan sebagai cawangan pertama di bawah jenama India Gate yang berjaya memperoleh pensijilan tersebut.

Kejayaan itu hadir selepas pusat pemprosesan atau central kitchen India Gate terlebih dahulu menerima Pensijilan Halal Malaysia pada tahun 2024. Langkah berkenaan memperlihatkan usaha berterusan syarikat dalam memastikan keseluruhan operasi mematuhi standard halal yang ditetapkan.

Majlis penyerahan sijil disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Siti Noorhuda. Beliau menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil kesungguhan pihak pengurusan bersama seluruh kakitangan India Gate Restaurant yang memberikan komitmen tinggi sepanjang proses permohonan.

Menurut beliau, pensijilan halal bukan sesuatu yang boleh diperoleh dalam tempoh singkat kerana ia melibatkan pelbagai proses penilaian. Setiap syarikat perlu memastikan semua aspek dipenuhi, termasuk pemilihan bahan mentah, pembekal, proses penyediaan makanan, tahap kebersihan premis, keselamatan makanan serta pelaksanaan Sistem Jaminan Halal yang lengkap.

Beliau turut memuji India Gate Restaurant kerana berjaya membina sistem kawalan halal yang menyeluruh. Malah, kejayaan pusat pemprosesan memperoleh pensijilan lebih awal menjadi asas penting sebelum syarikat memperluaskan pensijilan ke cawangan restorannya.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan sebuah lagi cawangan India Gate kini berada di peringkat akhir proses penilaian dan sedang menunggu keputusan panel JAKIM. Beliau yakin pengalaman yang diperoleh ketika menguruskan outlet pertama akan memudahkan proses pensijilan bagi cawangan lain pada masa akan datang.

Tambah beliau, Pensijilan Halal Malaysia kini bukan hanya menjadi keperluan pengguna Muslim, malah turut dilihat sebagai jaminan terhadap aspek kebersihan, keselamatan makanan dan kualiti. Konsep halalan toyyiban yang diterapkan juga memberi keyakinan lebih tinggi kepada pelanggan daripada pelbagai latar belakang.

Sementara itu, Pengasas dan Pengurus India Gate Restaurant, Saravanan Subramaniam, menyifatkan pensijilan tersebut sebagai satu detik yang amat bermakna buat syarikat. Katanya, kejayaan itu bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya amanah untuk terus mengekalkan standard halal di semua cawangan. India Gate turut merancang mendapatkan Pensijilan Halal Malaysia secara berperingkat bagi outlet lain sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan jenamanya dalam industri restoran fine dining di Malaysia.