Industri filem tempatan terus memperlihatkan kepelbagaian genre menerusi kemunculan Keramat Gunung Jerai, sebuah filem psikologi seram yang membawa penonton menyelami kisah tentang persahabatan, obsesi terhadap kejayaan dan kesan daripada keputusan yang dibuat tanpa memikirkan akibatnya. Filem arahan sulung Luqman Hafidz ini mengangkat naratif mengenai tiga sahabat, Hakim, Junaidi dan Wan, yang sanggup mengambil risiko melakukan ritual terlarang di Gunung Jerai demi mencapai impian mereka. Dengan harapan batu misteri yang ditemui mampu memenuhi segala keinginan, mereka akhirnya berdepan dengan gangguan ghaib yang mengubah kehidupan mereka. Diterbitkan oleh Lumatic Films, Keramat Gunung Jerai menampilkan barisan pelakon hebat termasuk Niezam Zaidi, Cristina Suzanne, Iedil Dzuhrie Alaudin dan Sara Ali. Filem ini bukan sekadar menampilkan unsur seram, malah meneroka konflik dalaman manusia apabila berdepan dengan rasa bersalah, kehilangan dan keinginan untuk memperbaiki kesilapan masa lalu. Kisah menjadi semakin mencemaskan apabila Hakim terpaksa kembali ke lokasi ritual tersebut selepas anaknya, Laila, mengalami penyakit misteri. Bersama Junaidi, mereka cuba merungkai rahsia yang telah lama terkubur, namun perjalanan itu membawa kepada pendedahan mengejutkan melibatkan individu terdekat serta kuasa mistik yang tidak lagi mampu dikawal. Selain kekuatan penceritaan, Keramat Gunung Jerai turut mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi Tonton Originals pertama yang ditayangkan secara PPV pada harga RM12. Pendekatan ini memberikan peluang kepada penonton menikmati karya tempatan berkualiti tinggi melalui pengalaman digital yang lebih mudah dan eksklusif. Dengan gabungan unsur seram, drama psikologi dan misteri supernatural, Keramat Gunung Jerai dijangka menjadi antara karya yang mencetuskan perbincangan dalam kalangan peminat filem tempatan apabila mula ditayangkan secara eksklusif di Tonton pada 8 Julai 2026. Post navigation 223 PEMENANG TELAH DIUMUMKAN, PEMILIK TQ WULING BINGO EV AKAN DIDEDAHKAN DALAM MASA TERDEKAT!