Industri muzik nasyid tanah air bakal menyaksikan sebuah transformasi besar-besaran menerusi pelancaran projek Nasyid Friday, sebuah inisiatif berani yang menyasarkan kebangkitan semula seni dakwah moden dalam kalangan generasi muda. Diterajui oleh pengasas Tarbiah Sentap, Adnin Roslan, projek ini bukan sekadar pelancaran lagu biasa, malah merupakan sebuah “tsunami” kandungan Islamik yang dirancang rapi untuk memenuhi ruang digital bermula Jun 2026 sehingga Januari 2027. Menurut Adnin Roslan yang bertindak sebagai Pengarah dan Penerbit, pemilihan hari Jumaat sebagai tunjang utama adalah untuk mengambil keberkatan “Penghulu Segala Hari”. Beliau percaya nasyid perlu berevolusi agar kekal relevan dengan selera anak muda hari ini yang sangat mementingkan aspek visual dan kualiti produksi. Visi utama beliau adalah memberikan alternatif hiburan yang berkualiti setara dengan muzik arus perdana namun tetap sarat dengan nilai ketenangan dan dakwah. Projek berskala besar ini bakal menggerakkan lapan nama besar dalam industri nasyid moden dan kerohanian, antaranya Adnin Roslan sendiri, Aniq Muhai, Aswan Anwar, serta kumpulan-kumpulan seperti One Path, Rabithah, Fetya, The Truth, dan Autotune Band. Lebih menarik perhatian, Nasyid Friday turut menerima sokongan daripada selebriti popular tanah air seperti Saiful Apek, Anas Tahir, dan Alif Azhari yang bakal muncul sebagai artis jemputan dalam pembikinan album yang dihasilkan. Selain fokus kepada isu harian remaja, projek ini turut mengangkat tema perjuangan global termasuk isu Palestin yang disifatkan oleh kumpulan Fetya sebagai simbol kebebasan dan kekuatan iman. Nasyid Friday juga tidak terhad kepada video muzik semata-mata, malah merangkumi penghasilan sekitar 200 video dan konten dakwah setiap bulan, termasuk sketsa santai dan jelajah dakwah ke seluruh Malaysia. Strategi agresif ini diharapkan dapat menghidupkan semula industri nasyid yang pernah mempunyai pengaruh besar dan seterusnya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa menerusi seni yang menyentuh jiwa. Post navigation DRUM TAO Returns to Singapore for Exclusive 2026 Performances