Rocketfuel Entertainment menyemarakkan sambutan Aidilfitri tahun ini menerusi kempen istimewa “Macam Macam Raya Bersama Rocketfuel Entertainment”, yang bukan sahaja meraikan musim perayaan, malah menonjolkan pencapaian luar biasa serta pelbagai pengumuman baharu melibatkan barisan artis mereka. Kempen ini menyaksikan kejayaan memberangsangkan apabila tujuh lagu raya terbitan mereka berjaya meraih lebih 13 juta penstriman digital secara keseluruhan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Rocketfuel sebagai antara peneraju kandungan hiburan tempatan yang relevan dan dekat dengan cita rasa semasa. Antara lagu yang mencuri perhatian termasuk “Rindu Raya” oleh ALPHA, “Kampung Kita” nyanyian Wani Kayrie, “Raya Macam Raya” kolaborasi Hael Husaini bersama ALPHA, serta karya lain daripada Dayang Nurfaizah dan Nadeera.
Meneruskan momentum tersebut, Rocketfuel turut memperkenalkan pelbagai pelancaran muzik baharu sepanjang tahun. Bintang meningkat naik Qal G tampil dengan single “Seharusnya Aku”, manakala Awienit bakal melancarkan karya sulungnya tidak lama lagi. Di peringkat antarabangsa, duo vokal Korea Selatan HoonDoo melancarkan lagu “Jejak Yang Tertinggal” sebagai runut bunyi untuk drama Dendam Seorang Mentua. Dalam masa sama, Wani Kayrie terus mencipta fenomena dengan lagu “Cak Cak Cekuk” yang layak ke separuh akhir Muzik-Muzik ke-40, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik tempatan. Penyanyi lain seperti Nadeera dan Hael Husaini juga dijangka tampil dengan projek baharu yang bakal menambah warna kepada portfolio Rocketfuel tahun ini.
Selain muzik, Rocketfuel Entertainment turut mengembangkan pengaruhnya dalam dunia lakonan dan kandungan digital. Antara perkembangan menarik termasuk penglibatan Mierul Aiman dalam filem “Tarung” bersama Zul Ariffin, serta kemunculan Fazziq Muqris dalam filem “Kata Hati”. Bakat muda seperti Qistina Rania, Bella Dowanna dan Arabella Ellen turut mencuri perhatian menerusi pelbagai projek drama dan siri digital, termasuk karya arahan Michael Ang. Dalam usaha memperluas kepelbagaian bakat, Rocketfuel juga memperkenalkan pemain bola sepak wanita negara, Qaseh Rania sebagai wajah baharu di bawah naungan mereka.
Kejayaan kempen ini turut menarik minat jenama besar seperti KFC, Shell dan U Mobile, membuka lebih banyak peluang kolaborasi strategik pada masa hadapan. Menurut pihak pengurusan Rocketfuel, kejayaan “Macam Macam Raya” mencerminkan kekuatan jenama mereka dalam menghasilkan kandungan yang dekat dengan masyarakat, di samping komitmen berterusan dalam membangunkan artis dan menghasilkan karya berkualiti tinggi. Dengan pelbagai perancangan yang telah disusun, Rocketfuel dilihat terus mengorak langkah sebagai antara pemain utama dalam industri hiburan tempatan.