
Penyanyi berbakat Nuha Bahrin yang sebelum ini dikenali menerusi lagu hit Casablanca, kini kembali dengan single terbaharu berjudul “Malam – Malam”. Lagu ini merupakan kolaborasi bersama komposer terkenal Ezra Kong di bawah projek kreatifnya, mimpi..
Menariknya, lagu ini menggabungkan elemen bunyi Arabic dan Spanish dengan sentuhan pop Melayu moden, menjadikan ia kedengaran unik dan penuh emosi. “Malam – Malam” membawa cerita tentang rindu terhadap seseorang yang jauh, kenangan lama yang masih terasa dekat walaupun masa sudah berlalu. Bulan pula dijadikan simbol kepada detik-detik yang tak boleh diulang, menambahkan lagi rasa sayu dalam lagu ini.
Bagi Ezra Kong, projek mimpi. adalah ruang untuk dia lebih bebas berkarya dan hasilkan muzik yang lebih jujur. Dia juga berkongsi bahawa inspirasi lagu ini datang daripada kisah sebenar, terutamanya daripada rakan-rakan yang bekerja ketika orang lain sedang meraikan momen penting seperti hari raya. Perasaan rindu itu kemudian diterjemahkan menjadi sebuah lagu yang penuh sentuhan romantik dan emosi.
Untuk Nuha pula, lagu ini sangat dekat dengan dirinya. Selain rindu kepada seseorang, dia juga rasa lagu ini menggambarkan kerinduan terhadap diri sendiri, merubah persepsi diri yang lebih yakin dan tidak terlalu memikirkan pandangan orang lain. Dia cuba menyampaikan emosi itu dengan cara yang lebih jujur dan “raw”, supaya pendengar benar-benar dapat rasa kekosongan dan longing dalam lagu tersebut.
Muzik video “Malam – Malam” turut tampil dengan konsep yang puitis dan simbolik. Ia memaparkan seorang wanita yang masih terperangkap dalam kenangan cinta lama, di mana kehadiran lelaki itu seolah-olah wujud, tetapi sebenarnya hanyalah bayangan memori. Visual ini menguatkan lagi tema kehilangan dan kesunyian yang dibawa oleh lagu ini.
Kolaborasi ini juga menjadi pengalaman yang bermakna buat Nuha, terutama kerana ini kali kedua dia bekerjasama dengan Ezra bersama penulis Sufairah Mohd. Ia membuka peluang untuk dia keluar dari zon selesa dan mencuba sesuatu yang berbeza.
Dengan gabungan bunyi yang unik dan emosi yang mendalam, “Malam – Malam” dijangka menjadi lagu yang dekat dengan hati pendengar, terutamanya ketika sunyi di waktu malam. Lagu ini akan mula tersedia di semua platform penstriman digital pada 24 April 2026.