Berteraskan matlamat untuk meningkatkan keterangkuman kewangan, khususnya dalam kalangan ibu, wanita dan belia daripada komuniti berpendapatan rendah, AEON Bank, bank digital Islamik pertama Malaysia, telah menjalinkan kerjasama dengan SURI Inspirasi Sdn Bhd (SURI) untuk membangunkan Program Sustainable. Reliable. Income (S.R.I.). Inisiatif ini selaras dengan pembangunan program iTEKAD, iaitu inisiatif kewangan sosial oleh Bank Negara Malaysia yang bertujuan memperkasa komuniti melalui peluang penjanaan pendapatan mampan.
SURI merupakan sebuah perusahaan sosial yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita daripada komuniti berpendapatan rendah, khususnya golongan ibu dan belia yang berusaha memperbaiki kehidupan demi masa depan keluarga. Melalui pembelajaran kemahiran praktikal seperti menjahit, peserta diberi peluang untuk menjana pendapatan secara berterusan. Program AEON Bank x SURI iTEKAD S.R.I. telah dilancarkan pada Mac 2026 dengan sasaran seramai 60 peserta menerusi tiga kohort, di mana setiap kohort berlangsung selama enam bulan. Program ini ditaja sepenuhnya oleh AEON Bank dan dibangunkan bersama SURI bagi memperlengkapkan peserta berusia antara 18 hingga 60 tahun dengan kemahiran, sokongan, peralatan serta akses kewangan untuk membina kehidupan yang lebih stabil. Ia menyasarkan individu daripada latar belakang berpendapatan rendah yang berdepan cabaran kewangan seperti isi rumah berpendapatan tunggal, penganggur dan mereka yang mempunyai pendapatan tidak menentu.

Bagi memperluaskan impak sosial, peserta program ini turut digalakkan untuk menyertai inisiatif MySURi Seragam, di mana mereka akan menjahit sebanyak 1,000 pasang pakaian seragam sekolah untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, rumah anak yatim dan rumah kebajikan. Inisiatif ini bukan sahaja membuka peluang pendapatan tambahan kepada peserta, malah membolehkan mereka menyumbang kepada masyarakat melalui usaha yang memberi manfaat kepada golongan memerlukan.
Dengan kepakaran SURI dalam membimbing golongan ibu dan belia, peserta akan mengikuti bengkel latihan menjahit dan pembangunan produk, termasuk teknik ikat celup Indigo Shibori dengan menggunakan bahan kitar tinggi seperti fabrik denim dan cadar hotel terpakai. Setelah menamatkan latihan, mereka akan berupaya menghasilkan cenderahati premium yang lestari, yang kemudiannya boleh dipasarkan melalui platform SURI Lifestyle atau menerusi pesanan konsainan untuk tujuan perolehan sosial. Hasil jualan akan disalurkan terus kepada peserta, sekali gus menyokong model ekonomi kitaran yang memberi impak sosial dan ekonomi secara serentak.
SURI diasaskan oleh gandingan ibu dan anak, Sally @ Salena Ahmad dan Amer Asyraf, yang sejak tahun 2016 telah komited membangunkan perusahaan sosial ini dengan melatih lebih 400 wanita di seluruh negara. Pada masa yang sama, mereka turut mengembangkan jenama SURI Lifestyle yang menawarkan produk berasaskan fabrik lebihan yang dikitar tinggi seperti denim dan linen, yang sebaliknya akan dibuang. Fabrik ini diolah menjadi produk berkualiti tinggi oleh ibu-ibu SURI, sekali gus menggalakkan penggunaan produk yang lebih lestari dalam kalangan pengguna.

Bagi memperkukuh kebolehpasaran produk yang dihasilkan, AEON Bank dan SURI turut bekerjasama dengan Zucchini & Co. untuk menyediakan modul pemasaran digital kepada peserta. Modul ini merangkumi kemahiran penggunaan media sosial dan fotografi mudah alih bagi membantu peserta memperluaskan capaian pelanggan secara dalam talian.
Selepas menamatkan program, peserta akan menerima mesin jahit mudah alih bagi membolehkan mereka memanfaatkan kemahiran yang diperoleh untuk menjana pendapatan secara berdikari dan menyara keluarga. Selain itu, AEON Bank turut menyediakan modul literasi kewangan yang merangkumi pendedahan kepada perbankan digital, kesedaran keselamatan siber dan pencegahan penipuan, serta penggunaan ciri-ciri dalam aplikasi AEON Bank seperti Savings Pot, Neko Sensei sebagai pembimbing kewangan peribadi, serta ciri tambahan lain termasuk Takaful, Neko Missions dan mata ganjaran AEON.
Program AEON Bank x SURI iTEKAD S.R.I. merupakan edisi kedua inisiatif iTEKAD oleh AEON Bank, susulan program AEON Bank x MADCash iTEKAD GrowthStart yang berlangsung dari Februari 2025 hingga Februari 2027 dan melibatkan 65 usahawan mikro wanita daripada golongan B40 di Kedah, Johor dan Negeri Sembilan. Melalui inisiatif seperti S.R.I. dan GrowthStart, AEON Bank terus komited dalam menyediakan penyelesaian kewangan yang mudah diakses, sambil memperkasa komuniti untuk mencapai aspirasi kewangan dan meningkatkan daya tahan ekonomi. Usaha ini juga mencerminkan peranan AEON Bank dalam memacu pembangunan perbankan Islamik dan menyokong pertumbuhan ekonomi digital negara.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web AEON Bank dan SURI serta memuat turun aplikasi AEON Bank bagi menerokai pengalaman perbankan digital yang lebih dinamik.