Industri perfileman tempatan bakal diserikan dengan kemunculan filem terbaharu berjudul Kata Hati, sebuah karya yang menggabungkan elemen percintaan, humor dan realiti kehidupan moden dalam satu naskhah yang segar. Filem terbitan Wayangworks Sdn. Bhd. dan Filmscape Sdn. Bhd. ini merupakan sebuah karya santai dan menghiburkan, namun berkembang menjadi cerita yang lebih mendalam tentang kehidupan serta pilihan hati.
Menurut penerbitnya, Muhammad Bahir, filem ini bukan sekadar kisah cinta semata-mata, sebaliknya turut memaparkan realiti dunia sebenar kehidupan seorang selebriti popular. Idea penghasilan Kata Hati tercetus hasil pengalaman mereka dalam industri perfileman yang sering bertemu dengan ramai selebriti, sekali gus menyedarkan perbezaan ketara antara persona yang ditonjolkan di hadapan kamera dan kehidupan sebenar di sebalik tabir. Justeru, mereka memilih untuk mengangkat kisah di sebalik dunia glamor seorang selebriti dengan menyelitkan jalan cerita yang menghiburkan penonton.

Diarahkan oleh Nadiah Hamzah, Kata Hati yang bergenre romantik komedi ini mengisahkan percintaan antara seorang pelakon wanita popular dengan seorang pemandu e-hailing. Filem ini turut menampilkan barisan pelakon muda yang sedang meningkat naik sebagai teraju utama iaitu Nia Atasha, Yusof Hashim dan Fazziq Muqris, bergandingan dengan pelakon popular seperti Scha Alyahya, Taqim Zaki dan Norreen Iman. Menambah tarikan, filem ini turut diserikan dengan penampilan khas (cameo) beberapa nama besar tanah air termasuk Beto Kusyairy, Nabila Huda, Liyana Jasmay, Nina Kho dan Shweta Sekhon.
Penerbit eksekutif, Juliana Foo, menyatakan bahawa filem ini hadir pada masa yang sesuai memandangkan penonton kini sudah terlalu lama disajikan dengan naskhah bergenre aksi dan seram. Menurutnya, genre romantik komedi seperti ini sudah lama tidak diketengahkan walaupun masih ramai penonton yang merindui cerita cinta ringan yang menghiburkan. Kata Hati disifatkan sebagai sebuah “modern fairy tale” dengan elemen “high-stakes romance” yang menawarkan pengalaman tontonan yang indah dan berkesan di pawagam.

Sementara itu, pengarah Nadiah Hamzah menjelaskan bahawa kekuatan utama filem ini terletak pada kepelbagaian emosi dan rasa yang disatukan dalam sebuah penceritaan yang unik. Selepas mengarahkan filem yang lebih berat seperti Motif, beliau berhasrat untuk menghasilkan sebuah filem cinta yang lebih ringan, menghiburkan serta mampu membuat penonton ketawa dan menangis dalam masa yang sama. Pemilihan pelakon juga dibuat menerusi sesi uji bakat, dan meskipun mereka merupakan pendatang baharu dalam dunia perfileman, komitmen serta kesungguhan yang ditunjukkan sangat membanggakan.
Beliau turut berharap penonton dapat merasai sendiri keindahan dan kejujuran kisah cinta yang dipaparkan, selain menikmati pengalaman emosi yang menyentuh hati melalui elemen gelak tawa dan tangisan yang digarap dalam filem ini. Penggambaran Kata Hati telah dijalankan pada awal Ogos 2025 di sekitar Kuala Lumpur dan Kuantan, dan filem ini dijadualkan untuk tayangan di pawagam seluruh negara pada 4 Jun 2026. Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman sesawang filemkatahati.my.