Malaysia akan terus bergerak ke hadapan secara berhemah dan bertanggungjawab ketika Kuala Lumpur bersiap sedia untuk meraikan Sambutan Hari Pekerja Sedunia bersama Festival Muzik Air Rain Rave yang akan berlangsung dari 30 April hingga 2 Mei 2026 di Bukit Bintang. Festival ini membuka peluang untuk mengalu-alukan pelawat dari seluruh rantau dan luar negara bagi menjadi sebahagian daripada pengalaman bersama yang merentas budaya di Malaysia.
Selain acara utama di Kuala Lumpur, tujuh negeri turut menyatakan kesediaan untuk menganjurkan aktiviti berkaitan yang bertemakan selari serta saling melengkapi, disesuaikan dengan konteks tempatan dan elemen budaya masing-masing. Negeri-negeri yang terlibat termasuk Negeri Sembilan, Johor, Melaka, Kedah, Wilayah Persekutuan Labuan, Pahang dan Terengganu, sekali gus mencerminkan penyertaan lebih meluas di peringkat kebangsaan dalam meraikan acara ini.
Acara ini dianjurkan bersama oleh Tourism Malaysia dan The Fame sebagai sebahagian daripada ekosistem pelancongan Visit Malaysia 2026 yang lebih luas. Walaupun persekitaran global kekal tidak menentu, penekanan perlu terus diberikan kepada usaha mengekalkan aktiviti ekonomi serta memastikan pertumbuhan yang inklusif. Inisiatif pelancongan yang dirancang dengan baik memainkan peranan penting dalam menyokong perniagaan tempatan, mengukuhkan daya tahan industri, serta memastikan manfaat pertumbuhan pelancongan dapat dinikmati secara lebih meluas termasuk oleh komuniti B40.
Festival Muzik Air Rain Rave dilihat sebagai pengaktifan pelancongan bandar strategik yang mencerminkan masyarakat majmuk Malaysia serta mempromosikan keterangkuman, dengan menghimpunkan pemain industri, rakan kreatif dan pihak berkepentingan komersial, di samping meningkatkan kehadiran pelawat serta merangsang perbelanjaan merentas sektor runcit, hospitaliti dan perkhidmatan. Selain elemen hiburan, festival ini turut mengintegrasikan budaya pelbagai kaum di Malaysia, bakat kreatif tempatan serta pengalaman gaya hidup terkurasi yang mencerminkan kekuatan ekosistem industri kreatif negara, di samping menarik minat pengunjung domestik dan antarabangsa.
Pengunjung boleh menjangkakan persekitaran imersif yang diinspirasikan oleh hujan, barisan DJ antarabangsa dan serantau bersama artis Malaysia, serta pengalaman pasar tempatan terkurasi yang menampilkan makanan, budaya dan ekspresi kreatif Malaysia.
Rain Rave kekal berteraskan identiti Malaysia dengan pendekatan kontemporari yang menggabungkan tradisi dan kreativiti moden. Diinspirasikan oleh hujan sebagai elemen semula jadi penting di Malaysia, festival ini mentransformasikan elemen tersebut kepada ekspresi kreatif dan budaya, sambil mempamerkan kepelbagaian warisan negara melalui persembahan tradisional, makanan dan permainan rakyat. Bersempena sambutan Hari Pekerja, festival ini juga menjadi penghargaan bermakna kepada sumbangan semua komuniti pekerja dan akan dibangunkan sebagai acara tahunan berprestij, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai antara tarikan utama dalam kalendar pelancongan Malaysia serta memposisikan negara sebagai destinasi yang muda dan bertenaga.
Acara ini turut disokong oleh rangkaian pihak berkepentingan awam dan swasta. Sokongan budaya dan kandungan disediakan oleh agensi seperti Istana Budaya, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (KRAFTANGAN), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Jabatan Warisan Negara (JWN), sekali gus mempertingkatkan keseluruhan pengalaman pengunjung.
Tourism Malaysia menyokong inisiatif ini melalui usaha promosi destinasi di bawah kempen Visit Malaysia 2026, manakala Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berperanan sebagai pemudah cara dan penyelaras dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan pelaksanaan yang lancar, pematuhan peraturan serta keselamatan awam.
Perancangan menyeluruh telah disediakan termasuk pengurusan trafik, kawalan pergerakan orang ramai, protokol keselamatan dan penyelarasan dengan agensi penguatkuasaan bagi memastikan persekitaran yang selamat, teratur dan terkawal untuk semua pengunjung. Kementerian kekal komited dalam mengimbangi keutamaan ekonomi dengan pelaksanaan yang bertanggungjawab. Ketika Malaysia mengharungi landskap global yang kompleks, fokus kekal jelas untuk mengekalkan pertumbuhan, mengukuhkan keyakinan serta memastikan Malaysia kekal berdaya saing, stabil dan berpandangan jauh. Sekali lagi, Malaysia terus mengalu-alukan pelawat dari seluruh dunia.