Hampir tiga dekad mengukir nama dalam industri muzik tanah air, kumpulan Spider kini bersedia menghadiahkan sebuah pengalaman muzik yang lebih intim dan mendalam kepada peminat mereka menerusi konsert eksklusif bertemakan ‘unplugged’. Dinamakan Spider Unplugged, konsert ini bakal berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2025 dan dianjurkan oleh Naga Legend Entertainment.
Ditubuhkan sekitar tahun 1996, Spider memulakan langkah mereka sebagai pendatang baru dalam dunia muzik tempatan. Walaupun dibimbing oleh maestro tersohor Dato’ M Nasir, laluan awal mereka tidak mudah. Namun, masa membuktikan bahawa Spider bukan sekadar nama, tetapi sebuah kumpulan yang membina kredibiliti melalui karya-karya luar biasa. Lagu-lagu seperti Nazraku, Aladdin, Relaku Pujuk, Kasih Latifah dan Cinta Dewa Dewi menjadi bukti kukuh keunggulan mereka, malah terus menyentuh jiwa pendengar generasi baharu.
Kejayaan Spider menawan industri muzik bukan sekadar retorik. Lagu Aladdin yang diangkat dalam Juara Lagu 2004 menerusi karya Relaku Pujuk membawa mereka ke puncak pengiktirafan, termasuk Anugerah Album Pop Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2005. Sejak itu, kumpulan ini terus menghasilkan karya-karya yang mampu bertahan melawan arus zaman, termasuk single terbaru mereka, Keluar Sarang, yang dilancarkan pada tahun 2024.

Melihat kepada sambutan peminat yang tidak pernah pudar, Naga Legend Entertainment tampil membawa satu persembahan istimewa Spider Unplugged. Konsert ini dijangka memberi nafas baharu kepada pengalaman muzik secara langsung, menonjolkan sisi akustik Spider yang lebih jujur dan menyentuh. Menurut wakil penganjur, Fandy Alias, peluang untuk bekerjasama dengan Spider dalam format unplugged merupakan satu penghormatan dan detik yang sangat dinanti-nantikan.
Spider yang terdiri daripada Tam (vokal), Aie (dram), Is (bass) dan Pown (gitar), menyatakan persetujuan untuk menjayakan konsert ini atas dasar kesepakatan misi dan visi bersama. Mereka menegaskan bahawa sebarang penganjuran konsert perlu mempunyai roh dan nilai tersendiri, bukan sekadar persembahan rutin. Seperti mana mereka meneliti penghasilan setiap karya, begitu juga pendekatan Spider terhadap pementasan konsert, lebih-lebih lagi yang bersifat solo dan eksklusif.
Spider Unplugged dijangka menjadi medan saksi kepada kelainan yang akan mereka tampilkan dalam suasana lebih dekat dan akrab dengan penonton. Format ini akan menyerlahkan keupayaan sebenar mereka sebagai pemuzik tulen, sekali gus memperlihatkan perjalanan dua dekad lebih mereka yang penuh warna.
Konsert Spider Unplugged akan berlangsung pada 25 Oktober 2025 di Mega Star Arena Kuala Lumpur. Tiket boleh didapati menerusi www.ilassotickets.com/spiderunplugged dengan harga bermula RM198 hingga RM388, mengikut kategori tempat duduk yang ditawarkan. Para peminat dinasihatkan untuk mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan.