Selepas sedekad menapak dalam industri muzik tanah air, kumpulan popular Insomniacks bakal menganjurkan konsert solo pertama mereka yang diberi judul Insomniacks: Echoes Of A Dream pada 12 Julai 2025 bertempat di Zepp Kuala Lumpur. Konsert yang dinanti-nantikan ini dianjurkan oleh SAH Entertainment dengan kolaborasi bersama Universal Music Malaysia, sekali gus menjadi satu detik bersejarah buat kumpulan yang terkenal dengan karya segar dan penuh emosi ini.
Dianggotai oleh Iqie (vokalis), Wan Arif Iskandar (bassist) dan Danial Lee Hashim (gitaris), Insomniacks telah mencipta fenomena tersendiri dengan lagu-lagu hit seperti Pulang, Reminisensi, Sempurna dan Igauan Malam. Mereka turut mendapat perhatian serantau, bukan sahaja di Malaysia, malah di Singapura, Indonesia dan Brunei. Kolaborasi mereka bersama Nabila Razali menerusi lagu Cerita Kita dan juga lagu Belum Mulai bersama Nabila Taqiyyah dari Indonesia telah mengukuhkan lagi nama mereka di pentas antarabangsa apabila video muzik Belum Mulai dinobat sebagai Video Muzik Tergempak di Anugerah Gempak Most Wanted 2024.
Menurut Pengarah Urusan SAH Entertainment, Sufi Rashid, penganjuran konsert ini merupakan satu momen istimewa bukan sahaja buat Insomniacks, tetapi juga buat para peminat yang sentiasa menyokong perjalanan muzik mereka sejak awal lagi. Lebih menarik, harga tiket yang ditawarkan adalah paling rendah pernah dijual di Zepp KL sejak sekian lama, sebagai tanda penghargaan kepada peminat. “Konsert ini akan menjadi kenangan yang tidak ternilai buat Insomniacks. Kami mahu seramai mungkin peminat dapat hadir dan merasai momen bersejarah ini, sebab itu harga tiket kami pastikan berpatutan dan mesra poket,” jelas Sufi.

Insomniacks yang mula mencipta nama pada tahun 2015 menerusi video ‘cover’ lagu di YouTube telah berkembang menjadi salah satu kumpulan paling berpengaruh dalam muzik arus perdana. Mereka pernah mencatat sejarah apabila menjadi artis pertama yang memiliki empat lagu dalam carta Top 10 RIM (Recording Industry Malaysia) secara serentak. Tambahan pula, Insomniacks diiktiraf sebagai artis Malaysia kelima paling banyak distrim di Spotify sepanjang tahun 2024, membuktikan populariti dan pengaruh mereka yang semakin kukuh.
Dengan identiti muzik yang menggabungkan elemen pop, rock dan punk, Insomniacks sentiasa memberi nafas baharu dalam setiap karya mereka. Konsert Echoes Of A Dream dijangka akan menyatukan peminat dari pelbagai generasi dalam sebuah persembahan yang penuh emosi, tenaga dan kenangan. Tiket-tiket konsert akan mula dijual bermula 5 Mei 2025 menerusi laman web rasmi Ticketmelon, dengan harga seperti berikut: RM138 untuk kategori Maniacks (Standing), RM168 bagi Sempurna (Seating), RM228 untuk Reminisensi (Seating), dan RM6888 untuk Pulang (VIP Box).
Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai konsert, orang ramai boleh menghubungi SAH Entertainment melalui emel di hello@sahentertainment.com. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada malam penuh magis bersama Insomniacks dalam Echoes Of A Dream sebuah konsert yang bakal mengukir memori seumur hidup.