Setiap tahun, industri muzik tanah air dimeriahkan dengan pelbagai lagu raya baharu. Tahun ini, Anggun Music Production mempersembahkan “Hari Kemenangan Dunia”, hasil ciptaan komposer dan penulis lirik baharu, Ilham Iskandar.
Meskipun masih baharu dalam industri, Anggun Music terus komited dalam menghasilkan lagu raya berkualiti. Kali ini, mereka mempertaruhkan gabungan Syafiq Ibrahim, Wazir Wahid, Zainol Roslan, Meclisandra, Erman Braka, dan Mayuji, adik kepada penyanyi Hazama, menjadikan lagu ini lebih bertenaga dan istimewa.

Jika tahun lalu mereka hadir dengan lagu bersuasana sedih, Rindu Ayah Bonda, tahun ini Hari Kemenangan Dunia tampil lebih segar dengan gabungan rentak pop-twist dan pop-jazz rancak. Sentuhan kreatif daripada pengubah muzik berpengalaman, Bell Fatah, memberikan lagu ini keunikan tersendiri, mengingatkan kita kepada era kegemilangan muzik Silve Tortoise.
Lebih daripada sekadar hiburan, lirik lagu ini menyampaikan mesej mendalam tentang kesyukuran dan kesederhanaan, mengingatkan kita bahawa masih ada insan yang menyambut Aidilfitri dalam kesusahan.

Keberanian Anggun Music mempertaruhkan bakat-bakat baharu juga wajar dipuji. Kebanyakan mereka bukan nama asing, pernah menjuarai pertandingan nyanyian seperti Royale Voice, Bintang Irama Malaysia, dan MicOn. Dengan keunikan dan pengalaman masing-masing, mereka bergabung dalam satu harmoni indah.
Dengan melodi segar dan mesej bermakna, Hari Kemenangan Dunia diharap dapat mencipta kenangan manis serta menjadi antara lagu raya pilihan pada tahun ini.