Penyanyi dan komposer terkenal, Achey kembali memeriahkan Aidilfitri dengan single raya terbarunya berjudul Ragam Raya. Lagu ini turut menampilkan penyanyi baru Baby Feaaa dan penyanyi cilik viral, Tantari.
“Saya sudah menyiapkan demo lagu pada September, tetapi proses rakaman mengambil sedikit masa kerana perlu mengikut jadual Baby Feaaa dan Tantari. Baby Feaaa pula sedang belajar di Kelantan, jadi ada sedikit kelewatan,” ujar Achey.
Pemilihan Baby Feaaa dalam lagu ini mempunyai nilai sentimental tersendiri buat Achey, kerana beliau merupakan anak kepada Allahyarham Harun Salim Bachik, individu yang pernah membantu Achey menapak dalam industri seni.
“Arwah Harun pernah banyak membantu saya pada tahun 2012. Selepas pemergian beliau, saya rasa bertanggungjawab untuk membantu Baby Feaaa mengembangkan bakatnya. Alhamdulillah, sebelum ini kami pernah berduet dalam lagu Kabus, dan kini kami berkolaborasi lagi dalam lagu raya,” jelasnya.
“Lagu raya ini seperti satu kumpulan kecil yang saya hasilkan untuk menghimpunkan penyanyi-penyanyi yang pernah menyanyikan lagu ciptaan saya. Setiap tahun, saya bercadang untuk mengumpulkan mereka dalam sebuah lagu raya khas,” kata Achey lagi.

Achey sebelum ini pernah menghasilkan lagu raya bertajuk Raya Rempit, yang menceritakan tentang trend menghias motosikal sempena Hari Raya. Kali ini, beliau mahu mengetengahkan realiti persiapan raya yang biasa berlaku tetapi jarang dimasukkan dalam lagu raya.
“Saya mahu lagu ini menjadi antara lagu raya yang dimainkan setiap tahun. Terima kasih kepada label rakaman saya, Seventeen Eleven Music, 360 Production, rakan media serta penaja utama, Sepulau Bintang, yang telah membantu dalam penghasilan muzik video ini,” katanya.
Selain itu, Achey juga merancang untuk menampilkan seorang lagi penyanyi dalam projek muziknya selepas Hari Raya, termasuk anaknya sendiri yang akan membuat pelbagai cover lagu dalam versi kanak-kanak.

Single Ragam Raya terbitan Seventeen Eleven Music boleh mula distrim di semua platform penstriman muzik mulai Jumaat, 7 Mac 2025. Muzik video rasmi lagu ini juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music pada hari yang sama, jam 10 malam.
Tonton muzik video rasmi di sini: https://youtu.be/QAbivSUfiuU.