Pada 28 Februari ini, Converse Malaysia (Converse MY) akan melancarkan Creative Exploration, sebuah aktivasi jenama yang memperkasakan seni dan kreativiti tempatan di bawah kempen global LOVE, CHUCK. Majlis ini akan dirasmikan oleh YBhg. Datuk Seri Shamsul Iskandar, Setiausaha Politik Kanan YAB Perdana Menteri Malaysia, menandakan kolaborasi unik antara jenama fesyen, institusi seni dan akademik.
Creative Exploration adalah hasil kerjasama antara Converse MY, Balai Seni Negara, serta institusi pengajian tinggi UiTM dan MIA. Program ini bertujuan menyediakan platform kepada pelajar seni untuk mempamerkan kreativiti mereka menggunakan kasut Chuck Taylor sebagai medium utama. Hasil karya mereka akan dipamerkan di Art Depot, Balai Seni Negara dari 28 Februari hingga 12 April, sebelum dipertontonkan di butik Converse terpilih di Lembah Klang.
Inisiatif ini bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar untuk meneroka gabungan seni dan fesyen, tetapi juga mengukuhkan kedudukan Balai Seni Negara sebagai pusat seni kontemporari utama di Malaysia. Melalui program ini, para pelajar berpeluang mendapatkan pendedahan awal dalam industri fesyen dan seni komersil, sekaligus membina rangkaian dengan penggiat seni profesional.

Menurut Dr. Shaliza Mohd Shariff, Ketua Pengajian Seni Reka dari Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM, Creative Exploration menjadi pemangkin bagi pelajar untuk melangkaui batas akademik. “Projek ini bukan sekadar pameran seni, tetapi platform yang membolehkan pelajar memahami aplikasi seni dalam dunia nyata. Kami berharap kerjasama ini akan terus berkembang dan memberikan lebih banyak peluang kepada bakat muda,” katanya.

Selain menyokong pembangunan bakat seni tempatan, aktivasi ini turut mengukuhkan kedudukan UiTM dan MIA sebagai institusi pendidikan seni yang prolifik dan relevan dalam industri kreatif. Penganjuran program seperti ini menjadi bukti komitmen mereka dalam membentuk generasi seniman baharu yang berdaya saing.
Sebagai sebahagian daripada kempen LOVE, CHUCK, Converse MY berharap Creative Exploration dapat membuka lebih banyak ruang kepada seniman tempatan untuk terus berkembang. Dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, program ini dijangka menjadi platform seni yang berdaya tahan dan berimpak tinggi untuk masa hadapan.