Penyanyi muda berbakat, Umairah, telah melancarkan single raya terbaharunya yang berjudul “Tak Balik Raya”, sebuah lagu yang penuh dengan emosi dan kemanisan nostalgia. Lagu ini kini tersedia di semua platform penstriman digital sejak hari ini.
Lagu “Tak Balik Raya” mengisahkan dilema seorang anak rantau yang terpaksa menyambut Hari Raya jauh dari keluarga akibat komitmen pekerjaan. Meskipun tema lagu ini sangat menyentuh hati dengan lirik yang sarat emosi rindu, ia juga menyuntik elemen kegembiraan melalui melodi yang segar dan menyenangkan.
Menurut Umairah, lagu ini menceritakan kisah realiti yang sering dialami oleh ramai anak-anak rantau yang tidak dapat pulang ke kampung halaman pada musim perayaan. Walaupun berdepan dengan perasaan pilu, teknologi masa kini memberikan harapan. “Dengan kemajuan teknologi, kita masih dapat berhubung dengan keluarga melalui telefon atau aplikasi lain. Jadi, walaupun jauh, hati tetap dekat,” ujar Umairah.

Umairah juga berkongsi bahawa sejak teaser lagu ini dikeluarkan, beliau menerima sambutan yang sangat positif daripada warganet. “Saya terharu dengan sokongan yang diberikan, lebih-lebih lagi kerana saya masih artis baharu dalam industri muzik. Komen-komen positif ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus berkarya,” tambahnya.
“Tak Balik Raya” adalah hasil ciptaan komposer terkenal Mas Dewangga dan Jova Devito. Mengenai pilihan lagu ini, Umairah berkata, “Saya tidak perlu menunggu lama untuk bersetuju merakamkan lagu ini. Demo lagu ini benar-benar menambat hati saya. Muzik dan emosi lagu ini sangat dekat dengan usia saya dan perasaan saya sebagai anak muda.”
Lagu ini juga bakal disusuli dengan pelancaran video muzik yang akan disiarkan di saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia pada 7 Mac 2025, pukul 9 malam. Video muzik yang diarahkan oleh Rifaiee Rio dan diterbitkan oleh Rio Films, menampilkan penari pengiring yang terdiri daripada rakan-rakan Umairah di Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur. “Saya mahu memberi peluang kepada rakan-rakan saya yang berbakat dalam bidang tari untuk turut serta dalam projek ini,” kata Umairah.

Universal Music Sdn. Bhd., sebagai pengedar rasmi, turut memberi sokongan penuh terhadap lagu ini, terutamanya sepanjang bulan Ramadan dan Syawal, untuk memastikan ia dapat dinikmati oleh semua peminat muzik tanah air.
Dengan pelancaran lagu ini, Umairah berharap ia dapat memberi sedikit kegembiraan kepada semua yang merasai kesulitan tidak dapat bersama keluarga ketika Raya. “Tak Balik Raya” bukan sahaja merayakan semangat Raya, tetapi juga menunjukkan ketabahan dan kreativiti dalam mengharungi masa yang penuh cabaran.