Empat minggu telah berlalu sejak Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) membuka tirai, dan kini perjuangan semakin getir apabila hanya tinggal enam peserta yang berjaya mara ke peringkat seterusnya. Dari Top 20 ke Top 6, episod keempat menyaksikan pertandingan ini bukan sekadar pentas bakat, tetapi juga ujian komitmen dan personaliti untuk menjadi antara yang terbaik. Dengan hanya empat minggu lagi menuju pentas final, penonton terus berteka-teki siapakah yang bakal dinobatkan sebagai juara CSOIAM.
Episod keempat kali ini mencipta banyak detik-detik penting, termasuk komen tegas daripada juri tetap, Dato’ Yusry dan Ziana Zain. Salah satu momen yang menjadi perhatian adalah kritikan pedas terhadap Rezza Shah, yang meskipun menerima imuniti di episod pertama, gagal menonjolkan persembahan yang memberangsangkan. Sebaliknya, peserta seperti Zazleen berjaya mencuri tumpuan apabila persembahannya yang menyentuh hati membuatkan Ziana sebak dan menitiskan air mata.
Juri jemputan minggu ini, Hael Husaini, turut memberi kejutan apabila memberikan standing ovation kepada beberapa peserta, membuktikan bahawa CSOIAM terus menampilkan kualiti luar biasa. Namun, episod ini juga menyaksikan dua peserta terpaksa meninggalkan pentas iaitu Rezza Shah dan Alya Mardien. Walaupun ramai bersetuju dengan penyingkiran Rezza, penonton meluahkan rasa kecewa terhadap penyingkiran Alya, yang dianggap layak meneruskan perjuangan.

Kini, Top 6 peserta iaitu Marygrace, Jimi, Zazleen, Eylia Guntabid, Mariam, dan Kai Deva bersedia untuk menghadapi tema mencabar minggu hadapan, “Evolusi AJL”. Tema ini menampilkan lagu-lagu ikonik dari pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) yang bakal menguji kebolehan vokal dan keunikan setiap peserta.
Jimi, yang dinobatkan sebagai juara Terpaling Fizz untuk episod keempat, terus mencipta sejarah. Selepas memukau penonton dengan duet bersama Aina Abdul di episod ketiga, kali ini beliau akan berduet bersama Misha Omar, yang terkenal dengan lagu-lagu seperti “Bunga-Bunga Cinta” dan “Pulangkan”. Persoalannya, mampukah Jimi mengekalkan momentumnya?
Dalam episod ini juga, Marygrace mencipta detik manis apabila berpeluang berduet dengan Datuk Ramli Sarip, menyampaikan lagu “Nyanyian Serambi” dan “Doa Buat Kekasih”. Persembahan luar biasa ini mendapat pujian tinggi daripada juri dan menjadi detik bersejarah bagi Marygrace.
CSOIAM terus menjadi fenomena, dengan episod keempat meraih lebih 4 juta tontonan serta trending di platform X, TikTok, dan Instagram. Pelbagai isu hangat diperbincangkan, termasuk kritikan terhadap Rezza Shah, komen pedas juri, dan penyingkiran Alya Mardien.

Episod kelima Calpis Soda One In A Million bakal bersiaran secara langsung pada 25 Januari 2025, jam 9.00 malam di TV3, atau boleh distrim secara HD di Tonton. Undian penonton amat penting kerana ia merangkumi 40% daripada keputusan keseluruhan, manakala selebihnya ditentukan oleh juri profesional.
Jangan lepaskan peluang untuk turut serta dalam fenomena ini! Gunakan #OIAM dan ikuti @CalpisSodaOIAMTV3 di media sosial untuk kemas kini terkini. Anda juga berpeluang memenangi hadiah lumayan, termasuk PEUGEOT Landtrek bernilai RM123,000!
Temui sorotan eksklusif dan pengalaman di sebalik tabir peserta melalui Fizz Journal, yang disiarkan setiap Khamis hingga Sabtu, jam 9.00 malam. CSOIAM bukan sekadar program realiti, ia adalah medan untuk mencipta bintang.