Ketika cabaran hidup datang menghimpit seorang penghantar makanan, hanya keberanian yang mampu mengatasi segala kesulitan. Begitulah perjalanan hidup Raja, yang mengalami perubahan mendalam selepas penemuan motosikal lama yang menyimpan rahsia misteri. Filem terbaharu Tonton Original, Raja Naga, menggabungkan elemen thriller dan mistik yang unik dengan latar budaya masyarakat tempatan, menampilkan kisah inspiratif tentang keberanian yang mampu menyentuh hati penonton dari pelbagai lapisan masyarakat.
Arahan pengarah berpengalaman, Azizi ‘Chunk’ Adnan, dan diterbitkan oleh Razor Edge, Raja Naga dijadualkan untuk ditayangkan bermula 30 Oktober 2024, bersempena dengan sambutan perayaan Deepavali. Filem ini diharapkan akan menjadi pilihan utama untuk dinikmati seisi keluarga, kerana ia membawa mesej penting tentang nilai kekuatan dan ketahanan dalam menghadapi cabaran hidup.
Plot Raja Naga memfokuskan kepada kehidupan Raja, seorang pemuda yang berdepan pelbagai kesukaran dalam hidup, termasuk tanggungjawab untuk menjaga ibunya yang lumpuh dan menghidap kanser. Dalam keadaan yang semakin terdesak, Raja terpaksa menggadai motosikal kesayangannya demi menyelesaikan hutang sewa rumahnya yang tertunggak. Namun, bantuan dari rakannya, Ali dan Bell, datang tepat pada masanya ketika mereka berkongsi wang untuk membantunya membeli motosikal terpakai. Mereka berusaha membaikinya tanpa menyedari kisah dan misteri yang tersembunyi di sebalik motosikal tersebut.

Setelah mengalami beberapa insiden aneh, roh penunggang asal motosikal tersebut muncul, memberi Raja kuasa yang tidak terjangkau. Motosikal usang itu bukan sekadar alat mencari rezeki, tetapi juga menyimpan rahsia kuasa luar biasa yang mampu mengubah nasib pemiliknya. Dengan kuasa yang baru diperoleh ini, Raja tidak hanya merubah kehidupannya tetapi juga bertekad untuk membela keadilan dalam komuniti yang dihuninya. Kini, beliau bukan lagi seorang penghantar makanan biasa, tetapi seorang wira jalanan yang berjuang untuk menegakkan kebenaran dan membanteras jenayah.
Menurut Azizi ‘Chunk’ Adnan, pengarah yang terkenal dengan sentuhan unik dalam penceritaan, Raja Naga lebih daripada sekadar hiburan; ia adalah refleksi tentang kekuatan, pengorbanan, dan keajaiban yang muncul ketika seseorang bangkit melawan segala rintangan. “Dengan kehadiran Sivasanthiran yang menghidupkan watak Raja, penonton akan menyaksikan sisi kemanusiaan dan keberanian yang jarang dipaparkan dalam genre aksi,” katanya.
Azizi juga menekankan bahawa Raja Naga bukan hanya tentang kisah seorang pemuda berbangsa India yang berjuang dalam kehidupan. Filem ini turut mengangkat tema kesetiaan kepada keluarga dan keberanian melawan ketidakadilan. Raja, yang setia menjaga ibunya meskipun dalam keadaan serba kekurangan, menggunakan kuasa misteri dari motosikal itu bukan untuk tujuan peribadi, tetapi untuk melindungi masyarakatnya. Dari seorang penghantar makanan yang gemar bergaya retro tahun 70-an, Raja kini menjadi wira jalanan yang menarik perhatian penonton dengan aksinya yang mendebarkan.

Filem ini dibintangi oleh Sivasanthiran sebagai Raja, yang menggambarkan watak utama yang berjiwa besar tetapi sentiasa gugup. Di samping itu, barisan pelakon berbakat seperti Scha Elinnea yang memegang watak Sari, gadis ceria yang menambah warna dalam kehidupan Raja, dan Hazama sebagai Johnny, taiko geng gelap yang berkarisma tetapi kejam, menambah kemeriahan cerita ini. Juga turut serta dalam filem ini adalah Thagaraja Victor dan Wanns Ahmad, menjadikan Raja Naga penuh dengan aksi, emosi, dan unsur humor yang seimbang.
Sivasanthiran, dalam satu kenyataan, menyatakan bahawa Raja Naga mengangkat tema bahawa seorang insan biasa pun boleh menjadi luar biasa dengan peluang kedua dalam hidup. “Filem ini menggabungkan elemen aksi, thriller, dan sedikit unsur misteri, menjadikannya sesuai untuk penonton yang mencari hiburan penuh debaran, terutama ketika musim perayaan Deepavali yang melambangkan kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan,” katanya.
Jadi, sambutlah perayaan Deepavali ini dengan hiburan penuh aksi dan inspirasi daripada Raja Naga – hanya di Tonton Original! Penonton boleh menonton filem ini secara eksklusif di platform Tonton di www.tonton.com.my bermula 30 Oktober 2024, atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play atau App Store. Untuk menonton dalam kualiti HD, Tonton juga boleh distrim di Smart TV. Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang rancangan kegemaran anda, jangan lupa untuk melayari laman sosial Facebook, Twitter, TikTok, dan Instagram Tonton di @tontonmy.