“Kali Kedua” oleh Saiful Jaicob Raih Tempat Kedua di Carta Lagu Artis Sabah

Saiful Jaicob, atau nama sebenarnya Md Noor Saifullah, kembali merancakkan industri muzik Sabah dengan single terbarunya berjudul “Kali Kedua”. Lagu ini adalah hasil ciptaan Saiful sendiri, dengan lirik oleh Kent, dan dirakamkan di Patauboys Home Studio, Sabah.

Pada tahun 2014, Saiful Jaicob telah menghasilkan beberapa single dan pada tahun 2017, beliau mula menceburi dunia nyanyian dengan lebih serius melalui program anjuran Luncai Emas bersama beberapa komposer tempatan Sabah yang lain.

Program ini menjadi titik permulaan bagi Saiful Jaicob yang kini telah merakamkan lagu terbarunya untuk tahun 2024 berjudul “Kali Kedua”. Setelah siap dirakamkan, lagu ini dipersetujui untuk diedarkan secara digital oleh Luncai Emas.

Menurut Saiful, “Lagu ini mengisahkan tentang ketegasan prinsip seseorang yang pernah ditinggalkan dan kemudian dirujuk kembali tetapi menolak dengan sepenuh hati. Kisah pahit akibat ditinggalkan meninggalkan kesan hitam dan hilangnya perasaan untuk membina semula cinta yang musnah. Walaupun kadangkala terfikir untuk memberi peluang kedua, biarlah ia hanya sebagai khayalan semata-mata demi meneruskan kelangsungan hidup daripada janji yang belum pasti. Kesengsaraan itu biarlah sekali sahaja dan tidak berulang untuk kali kedua.”

Selain itu, single “Kali Kedua” telah berjaya menjadi pencalonan baru dalam Carta Lagu Artis Sabah (CLAS) pada 1 April 2024 dan kini sudah memasuki minggu ke-13, menduduki tangga ke-2.

“Kent yang hantar lagu ini pergi RTM Sabah, dan masuk dalam pencalonan baru. Akhirnya RTM Sabah hubungi saya selepas lagu ini lulus untuk siaran. Mungkin rezeki saya”. – jelas Saiful Jaicob.

“Saya amat terpegun kerana lagu ini telah menduduki tangga ke-2 dan berharap ianya boleh bertahan hingga ke minggu akhir sekaligus menjuarai dalam Carta Lagu Artis Sabah 2024”. – ujar Saiful Jaicob lagi.

Buat masa kini, Saiful Jaicob akan meriliskan single Kali Kedua di semua saluran digital mulai 5 Julai 2024 dan official audio di Youtube. Para peminat boleh membuat undian juga untuk lagu ini di ruangan Facebook Carta Lagu Artis Sabah.

Semoga lagu ini berjaya memikat pendengar dan berkembang di seluruh Sabah serta Semenanjung Malaysia.