Sebuah drama terbaru bakal menghiasi slot Samarinda di TV3 menjelang Ramadan 2022 yang turut dinantikan untuk tontonan seisi keluarga berjudul “Bila Hati Memilih Dia” bakal bersiaran bermula 28 Mac 2022, setiap hari Isnin hingga Khamis pada jam 10.00 malam turut disiarkan melalui perkhidmatan penstriman iQiyi pada hari yang sama selepas siaran di TV3.
Berdasarkan sebuah novel hasil karya Wan Nur Najihah (KARNADYA) kini diadaptasikan kepada sebuah drama terbitan Global Station Sdn. Bhd. yang menampilkan gandingan pelakon hebat Aedy Ashraf dan Eyka Farhana sebagai peneraju utama.
Drama bersiri 15 episod ini mengisahkan seorang gadis bernama Adra lakonan Eyka Farhana yang baru menamatkan zaman pengajiannya sambil menunggu tawaran pekerjaan pada masa yang sama dipaksa untuk mendirikan rumahtangga bersama-sama Farhan lakonan Azri Sabri merupakan agenda Makcik Melur lakonan Zila Bakarin. Memberi alasan kerana dirinya masih tidak bersedia, Adra menolak permintaan tersebut.
Aedy Ashraf yang melakonkan watak sebagai Nazril merupakan seorang bapa tunggal dan terpaksa mencari seorang pengasuh untuk anak perempuannya iaitu Nufail setelah berpindah di Langkawi. Setelah mendengar jaminan yang diberikan oleh ibu tirinya bahawa dia berpeluang bekerja di Kuala Lumpur, Adra bersetuju untuk menjadi pengasuh Nufail setelah dipaksa oleh Makcik Melur.
Insiden yang tidak disangka-sangka telah berlaku sewaktu berada di Langkawi, Adra telah dituduh menculik anak Nazril setelah bapa tunggal tersebut melihat anaknya dipeluk oleh Adra setelah Nufail hilang ketika Nazril sibuk menjawab panggilan telefon.
Keesokan hari sewaktu Adra tiba di rumah Nazril untuk berkhidmat sebagai pengasuh Nufail, Nufail telah menceritakan perkara sebenar kepada bapanya berikutan insiden di Langkawi lantas Nazril meminta maaf dan memohon kepada Adra untuk terus berkhidmat dengannya kerana Nufail berasa sangat selesa dengan kehadiran Adra.
Ibu tiri Adra, Makcik Melur tetap meneruskan agendanya untuk terus menjodohkan Adra dengan Farhan tetapi ditolak oleh Adra kerana personaliti Farhan yang tidak disukai gadis tersebut. Shahz Jaszle melakonkan watak sebagai Fadhil yang merupakan abang kepada Farhan, juga cuba memikat Adra.
Satu hari, satu insiden berlaku yang membuat Adra dan Nazril terperangkap tanpa siasatan kejadian sebenar. Adakah kesudahan nasib Nazril dan Adra? Semuanya akan terjawab dalam slot Samarinda: Bila Hati Memilih Dia bermula 28 Mac 2022, setiap hari Isnin hingga Jumaat, pada jam 10.00 malam di saluran TV3.



