PERNAHKAH anda berdepan situasi yang berulang kali apabila bekas beras pula diganggu dengan kehadiran kutu beras.
Biarpun, sudah membersihkan tempat penyimpanan sebaik-baiknya, tetapi serangga berkenaan tetap muncul.
Itu belum lagi berhadapan dengan masalah bau ruang dapur yang kurang menyenangkan.
Usah bimbang kerana setiap masalah ada solusinya tersendiri. Jika enggan mengatasinya menggunakan kaedah moden yang mungkin mencecah kos tinggi, anda boleh menyelesaikannya dengan cara lain.
Bagaimana? Ikuti tip ringkas Segmen Jom Masuk Dapur kali ini yang memberi idea dengan hanya menggunakan bahan-bahan terdapat di dapur.
1) Cili kering, daun pandan halang kutu beras
Biarpun menyimpan beras dalam bekas kedap udara, namun langkah tersebut belum mampu untuk mengelakkan kehadiran kutu beras.
Justeru, bagi mengatasi masalah tersebut letakkan beberapa batang cili kering di dalam bekas berisi beras. Difahamkan, sifat cili kering yang panas akan menghalau kutu-kutu beras.
Selain cili kering, pengguna juga boleh mengelakkan kehadiran kutu dengan meletakkan antara dua hingga empat helai daun pandan di dalam tempat penyimpanan beras.
2) Kentang kurangkan masin
Jika masakan terlalu masin dek terlebih garam, usah bimbang. Anda hanya perlu meletakkan kentang dalam hidangan tersebut sehingga ia masak. Lama-kelamaan rasa masin itu akan berkurangan.
3) Kupas halia guna sudu
Pernahkah berdepan situasi apabila menyertai aktiviti kenduri yang dijalankan secara rewang anda tidak mempunyai pisau untuk mengupas kulit halia.
Cara lain yang boleh dilakukan adalah dengan menggunakan sudu besi bagi memudahkan proses pengupasan.
4) Aroma harum kulit kayu manis
Berdepan situasi dapur berbau hanyir, masam atau kepam akan menyebabkan ketidakselesaan berada di ruang berkenaan.
Tip mudah mengatasi masalah tersebut selain menyemburkan pewangi, kita juga boleh menggunakan bumbu masakan seperti kulit kayu manis, cuka dan bunga cengkih.
Rebus ketiga-tiga bahan itu, lalu sembur air rebusan itu pada lantai, kabinet dan persekitaran dapur.
5) Kulit kayu manis pelindung gula
Bagi mereka yang sering mengalami masalah semut di dalam balang berisi gula, letakkan beberapa batang kulit kayu manis atau bunga cengkih ke dalam bekas berkenaan.
Selain itu, kita juga boleh sapukan minyak masak pada sekeliling bekas untuk menghalang semut masuk.