3 GENERASI PEMUZIK ROCK NEGARA GEGARKAN DEWAN ZEPP KL!

‘YOLO Live Sessions: 3 Generations’ berjaya menghimpunkan ‘otai-otai’ rock tanah air termasuk kumpulan Spider, Noh Salleh, dan band XPDC yang dibawakan khas oleh jenama penganjur acara yang semakin mengharumkan nama YOLO Malaysia. Ia merupakan malam konsert yang ditunggu-tunggu oleh peminat muzik rock tanah air.

Belum pernah lagi mana-mana penganjur acara yang berjaya menghimpunkan pemuzik dengan 3 genre rock yang berbeza dalam satu konsert. Rata-rata pengunjung hadir terhibur dan ‘sing-along’ dengan lagu-lagu yang dipersembahkan.

Aksi pertama pada malam konsert dimulai kumpulan Spider dengan membawakan lagu-lagu hit mereka seperti Anti Graviti, Kacap Terlabik, Kau Saja, Hidupku, Mungkinlah Terjadi, ‘tribute’ istimewa Mentera Semerah Padi, Kelawar Vampira dan Mabok.

Ini merupakan konsert pertama bagi Spider walaupun berkongsi pentas dengan nama-nama besar industri rock kita, dan peminat yang hadir sangat happening dan enjoy. Istimewanya, sifu Dato’M.Nasir turut hadir memberi sokongan dan kami sempat membuat ‘tribute’ spontan buat beliau melalui lagu Mentera Semerah Padi.

Ketika aksi kedua dipersembahkan, Noh Salleh membawa ‘mood’ yang lebih romantis ke dalam dewan Zepp KL dengan menyanyikan lagu-lagu berentak retro popularnya seperti Gelung, Renjana, Mr. Polia, Biar Seribu, Sang Penikam, Angin Kencang dan Bunga Di Telinga.

Terakhir, band rock yang digelar ‘Raja Funfair’, XPDC mempersembahkan lagu-lagu rock malar segarnya seperti Ntahapahapantah, Raja Kertas, medley 3 lagu (Titian Perjalanan, dan Aku Dan Sesuatu), Selendang Merdeka, Kita Pengyu, Senapang Patah, Kabus Semalam, Hidup Bersama, Bukan Milik Aku dan Semangat Yang Hilang.

Ketiga-tiga pemuzik itu memberikan nyanyian unik lagu keramat terkenal Semangat Yang Hilang kepada penonton sebelum tirai konsert melabuhkan tirainya.