Dua jemaah TM Tours & Travel Sdn Bhd menerima sijil penghargaan Ibadah Haji 1444 Hijrah.
SEBANYAK 25 syarikat pelancongan bumiputera akan menyertai Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Muslim yang dianjurkan oleh Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputra Malaysia (Bumitra Malaysia) bertempat di hotel Movenpick KLIA, Sepang, bermula dari 19 hingga 21 Januari nanti.
Presiden Bumitra Malaysia, Harun KC Ahmmu berkata, kesemua syarikat tersebut telah diberikan lesen oleh TH untuk mengendalikan pakej haji swasta pada musim haji tahun 2024.
Harun berkata, karnival itu akan diadakan bermula jam 9 pagi hingga 9 malam pada 19 hingga 20 Januari manakala pada 21 Januari pula ia diadakan bermula jam 9 pagi dan akan berakhir pada jam 6 petang.
“Karnival itu akan dimeriahkan dengan 140 pempamer termasuklah Bank Islam, Malaysia Airlines, Saudi Tourism Board serta 25 syarikat pengelola jemaah haji yang menyediakan promosi pakej haji, pelbagai perkhidmatan dan produk yang menarik kepada pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan.