Pembeli rumah dikecualikan duti setem

Pembeli rumah dikecualikan duti setem

PEMBELI rumah Malaysia yang membeli unit kediaman berharga antara RM300,000 dan RM1 juta semasa Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2019 selama enam bulan, yang bermula 1 Jan, 2019, akan dikecualikan daripada membayar duti setem ke atas hartanah yang dibeli.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pembeli akan mendapat manfaat daripada pengecualian itu yang akan menjimatkan kos selain diskaun minimum 10 peratus yang ditawarkan kepada pembeli yang berpotensi dalam tempoh kempen tersebut.

“Insentif ini merupakan tindakan lanjutan oleh kerajaan selepas memberikan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap bahan binaan utama seperti batu-bata, simen dan pasir serta perkhidmatan pembinaan,” katanya pada sidang media mengenai Ekspo Perumahan di sini hari ini.

Katanya di bawah kempen itu, pemaju menawarkan diskaun minimum sebanyak 10 peratus untuk pembelian rumah baharu dalam usaha mengurangkan harga jualan rumah kecuali rumah harga terkawal.

“Pengecualian duti setem terhad kepada RM1 juta pertama nilai rumah tersebut. Baki selebihnya tertakluk kepada kadar tiga peratus.

“Selain itu, kerajaan bersetuju untuk memberikan pengecualian duti setem ke atas perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman bernilai lebih RM300,000 hingga RM2.5 juta,” katanya.

HOC 2019 merupakan inisiatif yang diumumkan Menteri Kewangan dalam Belanjawan 2019 pada November tahun lalu.

“Kerajaan memperkenalkan beberapa inisiatif dan insentif dalam Belanjawan 2019 untuk memudahkan rakyat Malaysia memiliki rumah, khususnya golongan B40 dan M40, termasuk pengenalan inisiatif Dana Perumahan Mampu Milik sebanyak RM1 bilion dua hari lepas,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Ekspo HOC Datuk NK Tong berkata selain pemaju, institusi kewangan turut dijemput untuk menyertai acara itu selama tiga hari mulai 1 Mac, 2019, susulan pembiayaan merupakan aspek penting dalam pemilikan rumah.

“Kami berharap institusi kewangan akan turut memainkan peranan mereka dengan menawarkan pakej pembiayaan yang menarik untuk pembeli membuat pilihan yang terbaik pada ekspo tersebut.

“Bekerjasama untuk memastikan kejayaan ekspo itu menunjukkan komitmen bersama kami untuk memberi pilihan rumah yang terbaik kepada rakyat bagi memenuhi keperluan mereka selain meningkatkan industri hartanah negara pada masa mencabar ini,” katanya.

Selain pemaju swasta, beberapa agensi kerajaan dan berkaitan kerajaan akan mengambil bahagian dalam ekspo HOC 2019 itu, iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, UDA Holdings Bhd, Perbadanan PR1MA Malaysia, Syarikat Perumahan Negara Bhd dan Permodalan Nasional Bhd. – Bernama



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *