Kuala Lumpur menjadi saksi kepada penampilan sulung antarabangsa band retro-pop dari Jakarta Selatan, The Lantis, yang buat julung kalinya menghiburkan peminat Malaysia menerusi Konsert Jiwa Kacau baru-baru ini. Kehadiran trio muzik yang terdiri daripada Giri selaku vokalis, Ravi dan Ojan sebagai pemain gitar itu bukan sahaja memeriahkan pentas, malah mencuri perhatian peminat tempatan dengan persembahan bertenaga dan penuh emosi.
Dalam konsert yang turut menampilkan barisan artis ternama dari Indonesia dan Malaysia seperti Wali, Kerispatih, Hujan, Bunkface dan Spider, The Lantis tampil menyerlah dengan setlist yang mantap dan interaksi mesra bersama penonton. Lagu-lagu seperti “Bunga Maaf”, “Ambang Rindu” dan “Lampu Merah” mendapat sambutan luar biasa apabila para penonton turut menyanyi bersama, mencipta momen yang sukar dilupakan buat kumpulan ini.
Kehadiran lagu “Bunga Maaf”, yang dilancarkan pada November 2024 dan kini masih berada dalam carta Top Songs Malaysia di kedudukan ke-46, membuktikan bahawa karya mereka sudah pun menemui tempat dalam hati pendengar Malaysia. Menyifatkan penampilan ini sebagai impian yang menjadi nyata, ketiga-tiga anggota The Lantis melahirkan rasa terharu dan syukur atas sambutan hangat yang diterima dari peminat di Kuala Lumpur.

Ditubuhkan pada tahun 2020, The Lantis mula dikenali menerusi lagu “Lampu Merah” yang mencetus fenomena di pelbagai platform digital dengan catatan lebih 96 juta jumlah strim. Empat tahun kemudian, mereka mengukuhkan lagi kedudukan dalam industri muzik Indonesia menerusi “Bunga Maaf” yang kini mencecah 161 juta strim dan terus menambat hati pendengar di serata rantau.
Selain kejayaan di pentas dan carta digital, The Lantis turut terlibat dalam produksi “Musikal Keluarga Cemara 2025”, menyumbangkan lagu “Seperti Cemara” yang turut dimuatkan dalam album kompilasi “Lagu-Lagu Cemara (2025)” yang dirilis pada Jun 2024. Persembahan mereka dalam teater musikal itu mengukuhkan lagi reputasi kumpulan ini sebagai band serba boleh dengan daya tarik yang unik dan segar.
Konsert Jiwa Kacau bukan sahaja menjadi platform untuk The Lantis meluaskan sayap ke pasaran Malaysia, malah membuktikan bahawa muzik retro-pop yang dibawakan mereka mampu merentas sempadan dan budaya. Dengan sambutan positif daripada penonton Malaysia, The Lantis kini bersedia untuk meneruskan perjalanan antarabangsa mereka dengan penuh keyakinan dan rasa syukur.