KONSERT BOLLYWOOD JUBIN NAUTIYAL MENGASYIKKAN!

Penyanyi Playback Popular India Hiburkan Peminat Di Malaysia Dalam Konsert ‘Jubin Nautiyal: Live In Malaysia’

KUALA LUMPUR, 27 Ogos 2022 – Demam Bollywood di Malaysia berakhir malam tadi apabila penyanyi latar (playback) nombor satu India, Jubin Nautiyal muncul menghiburkan seitar 3,000 peminat di Malaysia ketika konsert perdananya ‘Jubin Nautiyal: Live In Malaysia’ bertempat di dewan Plenary Hall, KLCC yang disidangkan oleh syarikat penganjur acara popular, Hitman Solutions.

“Ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki di Malaysia dan sambutan yang saya terima cukup mesra. Meskipun singkat, saya berpeluang melihat tempat-tempat menarik di sekitar Kuala Lumpur dan merasai makanan Malaysia, dan tujuan utama saya ke sini adalah bermain muzik bagi menghiburkan peminat saya di Malaysia,” jelas jejaka kacak berusia 33 tahun ini.

Peminat dihiburkan selama lebih 2 jam di konsert Jubin malam tadi dengan hampir 30 lagu, termasuk lagu hits seperti Lut Gaye, yang telah menerima lebih 1.2 bilion tontonan di YouTube, Humnava Mere, Tum Hi Aana, dan Raataan Lambiyan. Jubin diiringi oleh 15 pemuzik berbakat yang telah mengembara dari India.

“Rencananya, saya akan menyanyikan dalam 20 buah lagu sahaja tetapi kebanyakan peminat berasa hampa dan mahukan lebih, jadi saya hadiahkan 30 buah lagu kesemuanya yang saya nyanyikan secara medley demi tidak menghampakan perasaan mereka semua,” tambah Jubin.

Kerjaya muziknya secara rasmi bermula apabila dia memasuki pertandingan realiti X Factor India. Dia tidak mara ke pusingan akhir, tetapi itu tidak menghalangnya atau mematahkan semangatnya, katanya. “Saya tidak pernah menganggapnya sebagai hobi atau sekadar minat, sebaliknya satu cara hidup, sama seperti bagaimana kita memerlukan makanan, seperti bernafas, kerana itulah pentingnya muzik dalam hidup saya,” katanya.

“Saya rasa sangat bertuah kerana dapat menghibur dan menggembirakan peminat-peminat saya pada malam ini melalui muzik yang saya bawakan, saya hanya mengharapkan kasih sayang, senyuman yang terukir dan mungkin juga tangisan di wajah mereka (peminat), serta pulang dengan kenangan yang indah. Semoga kita berjumpa lagi di lain masa, terima kasih Malaysia.”

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Solutions, Encik Rohit Rampal, “Terima kasih kepada pembeli tiket dan kesemua yang hadir pada malam ini kerana sambutan yang diterima sangat memberangsangkan serta luar jangkaan. Serta terima kasih juga kepada Tourism Malaysia, Malaysia Truly Asia, Milestone Entertainment, Kuna KL, Clifftop Group Asia, Malik Streams, Astro Ulagam, Astro Box Office Bollyone HD, Bollylah, Raaga.my, D’Mart Travel & Tours Sdn Bhd. dan Varnam MY. Jangan lupa nantikan konsert seterusnya dari Hitman Soutions.”

Kami berasa sangat terpesona dengan kualiti persembahan oleh Jubin Nautiyal yang menyentuh hati pada konsert pertamanya di Malaysia. Akhir sekali, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat-peminat yang telah membantu menyokong dan melibatkan diri dalam konsert ini.