SHAH ALAM – Guardian Malaysia (Guardian) melakar sejarah apabila membuka stor terbaharu yang ke-500 sebagai aplikasi mudah alih yang beroperasi 24 jam sehari selama seminggu.
Pengarah Komersil dan E-Dagang Serantau, DFI Retail Group, Asia Tenggara, Kesihatan dan Kecantikan,Tae Hoon Kim berkata, antara ciri-ciri aplikasi tersebut adalah ikon pintasan untuk mengakses lebih pantas tawaran pukal, tawaran eksklusif dalam talian, produk-produk popular dan fungsi menambah produk ke ‘Senarai Hajat’.
Menurutnya, selain itu carian terhangat dan penghantaran ke seluruh negara selama tiga hingga lima hari bekerja untuk Malaysia Barat dan enam hingga 10 hari bekerja untuk Malaysia Timur.
“Kami terus mengembangkan stor-stor fizikal sejak dua tahun lalu kerana kami tahu pelanggan masih ingin berkunjung ke stor apabila ia wujud berhampiran mereka.
“Kami juga mempercepatkan perjalanan transformasi digital dengan membangunkan saluran e-dagang,” katanya dalam satu kenyataan.
Hoon Kim berkata, aplikasi Guardian adalah satu pencapaian penting dalam transformasi digital Guardian untuk berada seiring dengan pengguna yang mahir teknologi dan cara jenama itu menerima sepenuhnya perubahan baharu yang melanda industri sepanjang dua tahun lepas.
“Kami fokus untuk mengikuti arus perubahan dalam dunia aplikasi mudah alih dan bekerja keras untuk membawakan promosi-promosi eksklusif kepada pelanggan,” katanya.
Beliau berkata, pelanggan boleh menikmati pelbagai pilihan produk yang ditawarkan melebihi 10,000 barangan keperluan kesihatan dan kecantikan dengan banyak tawaran eksklusif hanya di aplikasi.
“Untuk meraikan pelancaran stor ke-500 itu, Guardian mengadakan peraduan istimewa Beli dan Menang App-Clusive yang menawarkan hadiah bernilai sehingga RM50,000 untuk dimenangi,” katanya.
Katanya, Guardian juga akan mengadakan peraduan Guardian App Dance Challenge dan video paling kreatif dengan lagu singkat (jingle) Aplikasi Guardian yang akan berpeluang memenangi hadiah utama berupa RM5,000.
“Terdapat juga lima hadiah saguhati berupa baucar Aplikasi Guardian bernilai RM500 setiap satu untuk dimenangi. Peraduan ini akan berlangsung dari 13 Januari hingga 27 Februari 2022.
“Untuk pembelian App-Clusive pertama anda, kami juga akan memberikan potongan RM15 daripada pembelian anda beserta penghantaran percuma,” katanya.
Tambah Hoon Kim, aplikasi mudah alih baharu Guardian boleh dimuat turun menerusi Apple App Store dan Google Play Store.
“Guardian turut menyumbang RM5,000 kepada setiap satu daripada 10 rumah anak-anak yatim di Malaysia yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini, sebagai usaha berterusan dalam menyokong dan berkhidmat kepada komuniti di mana mereka beroperasi,” katanya.