FD Iskandar menerangkan projek pembangunan yang bakal dijalankan oleh Glomac Berhad.
SYARIKAT pemaju hartanah terkemuka, Glomac Berhad melancarkan projek perumahan Loop City di Lakeside Residences, Puchong bernilai RM1.6 bilion dengan keluasan 15.3 ekar (enam hektar) dan menawarkan pelbagai fasiliti sedia ada di kawasan tersebut.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac, Datuk Seri FD Iskandar berkata, menerusi projek berkenaan pihaknya akan memperkenalkan Loop Residences dengan harga fasa pertama bagi 980 unit pangsapuri seluas 450 dan 750 kaki persegi.
“Harga jualan bermula dari RM230,000 hingga RM660,000 bagi memastikan golongan muda, pembeli rumah kali pertama dan pesara dapat mencari penyelesaian yang ideal berkaitan kediaman impian mereka.
“Pembangunan projek ini akan membantu mengurangkan bebanan kewangan individu yang bekerja di Tier 2 (Bangsar, Petaling Jaya dan Puchong) yang terpaksa tinggal di lokasi Tier 3 (Rawang, Sungai Buloh dan Cyberjaya),” katanya ketika sidang akhbar majlis pelancaran Loop City pada Isnin.