World #QuranHour terus disemarakkan di Pahang biarpun sederhana

Inspirasi Destinasi Menarik Percutian Impian > GAYA HIDUP > World #QuranHour terus disemarakkan di Pahang biarpun sederhana

World #QuranHour terus disemarakkan di Pahang biarpun sederhana

KUANTAN – Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota dan Masjid Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan antara ‘hotspot’ World #QuranHour di Pahang, pada 26 April ini.

Setiausaha Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Mohd Rozamli Mohd Rozak berkata, World #QuranHour di Masjid Tengku Ampuan Afzan diadakan dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Pahang sempena Program Iktikaf Perdana 10 akhir Ramadan.

Menurutnya, Jabatan Mufti bersetuju untuk menyelitkan slot sesi berinteraksi bersama al-Quran itu antara jam 11.45 pagi hingga 1 tengah hari pada hari berkenaan.

“Bagi kedua-dua ‘hotspot’ World#QuranHour itu, pemilihan qari dan pentaddabur akan ditentukan penganjur,” katanya.

Mohd Rozamli berkata, program cetusan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu juga akan dibawa ke peringkat sekolah di negeri ini untuk disemarakkan.

Mohd Rozamli

Mohd Rozamli

“Perkara ini dipersetujui oleh Bahagian Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang.

“Konsep dan pelaksanaannya bergantung kepada pihak sekolah sama ada diadakan serentak dalam kelas atau mengadakan majlis dihadiri pelajar terpilih dan guru.

“Antara sekolah yang tidak melepas peluang mengambil bahagian dalam World #QuranHour setiap tahun adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Afzan di sini,” katanya.

Warga SMK Tengku Afzan sentiasa memberi sokongan dan mengambil bahagian dalam World #QuranHour setiap tahun.

Warga SMK Tengku Afzan sentiasa memberi sokongan dan mengambil bahagian dalam World #QuranHour setiap tahun.

Beliau berkata, pihak JPN Pahang juga dijangka turut sama mengambil bahagian dalam World #QuranHour peringkat jabatan.

“Bagi daerah-daerah, ia akan diselaraskan pihak Rumah Ngaji daerah masing-masing sama ada diadakan di Rumah Ngaji atau di masjid terpilih.

“Walaupun tahun ini tiada ‘hotspot’ utama untuk sambutan kempen World #QuranHour secara besar-besaran di Pahang, yang penting tradisi ini dapat terus disemarakkan biarpun secara sederhana,” katanya.

Menurutnya, paling penting program itu dapat diteruskan yang mana setiap tahun sekurang-kurangnya akan ada satu surah al-Quran sebagai interaksi melalui tadabbur dan tazakkur.

“Mesej yang disampaikan melalui surah-surah ini kemudiannya diaplikasikan dalam kehidupan ummah.

“Al-Quran yang diturunkan pada Ramadan bukan sekadar dibaca tetapi penuh dengan pintu-pintu hidayah petunjuk buat insan di muka bumi,” katanya.

Tambah beliau, pemilihan surah Al-Sajdah tepat dengan tema World #QuranHour tahun ini iaitu ‘Dunia Bersujud’ dalam mencapai matlamat ‘Dunia Berbudi dan Penyayang’.

“Ia juga kena dengan masanya selepas rakyat negara ini melalui dua fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19.

“Tahun ini ALLAH meredakan kembali wabak itu, justeru sebagai umat Islam kita wajib kembali sujud menyembah syukur kepada-NYA.

“Surah yang dipilih ini juga menjadi surah lazim kehidupan insan sebagai pedoman kehidupan, malah Rasulullah SAW sendiri mengesyorkan ia dibaca setiap pagi Jumaat solat Subuh dan setiap malam sebelum tidur,” katanya.

Tambah beliau, surah Al-Sajdah mengandungi sembilan perkara yang dapat diyakini bagi membentuk peribadi yang bersujud dan satu solusi untuk meningkatkan keyakinan serta rasa kehambaan kepada ALLAH SWT.

“Peribadi bersujud melahirkan karakter manusia yang tidak sombong sekali gus membentuk cara dan gaya fikir yang selari dengan al-Quran dan hadis.

“Justeru, kandungan surah Al-Sajdah akan dikupas melalui World #QuranHour kali ini agar ia menjadi panduan dalam membentuk keharmonian sejagat di seluruh dunia,” katanya.

Sumber