WONDA Coffee perkenalkan panduan jarak sosial berasaskan WebAR pertama iaitu Wonda Gap-puccino bagi menentukan jarak sosial yang selamat dalam kalangan orang ramai.
Wakil Presiden Kanan Pemasaran dan Perniagaan Alternatif dari Etika, Santharuban T Sundaram berkata, panduan berkenaan bertujuan membantu orang ramai mengekalkan jarak yang mencukupi setiap kali mereka keluar dari rumah.
“Pengguna hanya perlu membuka pautan pada penyemak imbas telefon pintar mereka di https://www.etikaholdings.com/wonda/wonda-gap-Puccino-guide/.
“Untuk hasil terbaik, gunakan sambil berdiri dengan kamera menunjuk ke lantai dengan sudut sekitar 45 darjah,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Wonda Gap-puccino dihasilkan dengan kerjasama Entropia Xtended Reality (EXR) yang juga sebahagian daripada kumpulan Entropia.
Augmented Reality (AR) berasaskan web secara automatik itu akan memberikan warna jarak yang berada dalam peraturan satu hingga dua meter di sekitar pengguna ketika mereka bergerak.
Santharuban berkata, Wonda Gap-puccino mudah difahami kerana ia memberi tumpuan kepada kawasan di sekitar pengguna dengan tanda ‘berhati-hati’ atau ‘bahaya’ sebagai penunjuk jarak yang selamat antara orang ramai.
Justeru, beliau berharap panduan jarak sosial berkenaan berfungsi sebagai panduan berguna kepada mereka yang bergerak di kawasan padat seperti pusat membeli-belah, pengangkutan awam dan lain-lain.
Sementara itu, wakil Entropia, Ramakrishna berkata, pihaknya berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Wonda bagi memudahkan orang ramai.
“WebAR adalah teknologi yang berkembang pesat dan ia menandakan evolusi dari generasi berasaskan aplikasi kepada berasaskan web di mana-mana.
“Teknologi ini dapat membantu dalam masa sukar dan Wonda Gap-puccino adalah sumbangan kecil kami untuk membantu orang ramai,” katanya.