WANY HASRITA CURAH EMOSI GALAU DALAM SINGLE TERKINI “JAHAT”

Penyanyi bersuara lunak dan penuh jiwa, Wany Hasrita, kembali dengan buah tangan terbaharunya berjudul “Jahat”, sebuah lagu yang sarat dengan perasaan kecewa dan kekecewaan, sekaligus diangkat sebagai lagu tema rasmi bagi drama bersiri menyentuh hati, Pabila Dia Tersenyum, terbitan Global Station Sdn Bhd. Drama eksklusif Viu ini mula ditayangkan pada 24 April lalu dan mendapat sambutan hangat di kalangan peminat drama tempatan.

Diterbitkan di bawah label rakaman Sony Music Malaysia, “Jahat” memperlihatkan sisi lebih mendalam Wany sebagai seorang penyanyi yang kini lebih matang, berani bereksperimen dan berani menyampaikan emosi secara terbuka. Lagu ini juga menjadi titik penting dalam kerjayanya apabila ia menampilkan kolaborasi antarabangsa bersama barisan komposer terkenal dari Indonesia seperti Audree Dewangga, David Elsandro, Andre Lizt, dan Trakast.

“Impian saya untuk menyanyikan lagu balada pop yang benar-benar ‘galau’ akhirnya tercapai. Saat pertama kali saya dengar demo lagu ini, hati saya terus terusik. Saya tahu ini lagu yang saya cari selama ini,” kongsi Wany penuh jujur.

Menurut Wany, proses rakaman lagu “Jahat” mengambil masa sekitar tiga jam sahaja. Namun, dalam waktu yang singkat itu, dia memberi sepenuh tumpuan untuk menyampaikan setiap bait lirik dengan penuh rasa dan penghayatan. Lagu ini bukan sahaja menjadi medium ekspresi diri, tetapi juga sebagai ruang untuk menyentuh hati para pendengar.

Muzik video rasmi “Jahat” turut menyampaikan naratif visual yang menyokong kekuatan lagu ini. Dengan suasana suram namun sarat makna, MV tersebut menggambarkan perjalanan emosi seorang wanita yang kelihatan kuat di luar, tetapi sedang bergelut dengan trauma dan manipulasi emosi dalam hubungan. “Saya tak perlu berlakon pun sebenarnya. Emosi itu datang sendiri ketika penggambaran kerana lagu ini sangat dekat dengan pengalaman ramai,” ujar Wany lagi.

Dalam masa yang sama, drama bersiri Pabila Dia Tersenyum turut menampilkan jalan cerita menyayat hati mengenai gadis yang dibesarkan dalam keluarga penuh rahsia dan tragedi. Menampilkan pelakon berbakat seperti Amir Ahnaf, Alya Iman dan Adam Lee, drama ini menyentuh isu kehilangan, kekeluargaan dan percintaan yang penuh konflik. Lagu “Jahat” memainkan peranan penting sebagai pelengkap kepada naratif emosi dalam drama ini.

“Bila saya diberitahu bahawa lagu ‘Jahat’ akan menjadi OST rasmi, saya rasa sangat bersyukur. Ia bukan sahaja peluang besar untuk karya ini didengari, tetapi juga menjadi sebahagian daripada cerita yang mendalam dan penuh makna,” kata Wany dengan penuh rendah hati.

Wany turut menzahirkan harapan agar lagu ini mampu menjadi suara buat mereka yang sedang berjuang dalam perhubungan yang melukakan. “Saya tahu ada ramai yang pernah merasa disakiti. Saya harap ‘Jahat’ dapat menjadi peneman hati dan menyembuhkan sedikit luka dalam jiwa,” tambahnya.

Single “Jahat” kini boleh distrim di semua platform digital utama seperti Apple Music, Spotify, YouTube Music dan lain-lain. Muzik video rasmi pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Wany Hasrita.