Kuala Lumpur (KL) City FC kembali menemui rentak kemenangan selepas menundukkan Penang FC 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya malam tadi.
Dua jaringan KL City hadir menerusi Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-34 dan Mohamad Kamal Azizi pada minit ke-77, manakala gol tunggal Penang FC dijaringkan kapten pasukan, Stefano Brundo pada minit ke-48.
Jurulatih KL City, Risto Vidakovic, menyifatkan kemenangan itu penting untuk mengembalikan keyakinan anak buahnya selepas kekalahan kepada Kelantan TRW dalam saingan Piala FA minggu lalu. Beliau menegaskan pasukannya masih dalam proses pembentukan kerana pramusim bermula lewat dengan kehadiran ramai pemain baharu.
“Kami juga kehilangan dua mata menentang Sabah kerana dibolosi pada minit akhir. Itu sesuatu yang perlu diperbaiki kerana kami akan menentang PDRM FC dalam masa dua hari. Harapan saya agar semua pemain sempat pulih,” katanya.
Sementara itu, skuad Penang FC terus bergelut mencari kemenangan pertama musim ini. Ketua jurulatih mereka, Wan Rohaimi Wan Ismail, menyifatkan kelekaan barisan pertahanan menjadi faktor utama kekalahan malam tadi walaupun semangat juang pemain tidak pernah luntur.