“WAJIB TONTON!” SYAFIQ YUSOF BERIKAN 1000/10 UNTUK EJEN ALI THE MOVIE 2!

“Saya bagi 1000/10 untuk filem Ejen Ali 2. Sangat best!” demikian kata pengarah filem terkenal, Syafiq Yusof, selepas menonton tayangan perdana Ejen Ali The Movie 2 yang berlangsung penuh meriah di IOI City Mall, Putrajaya semalam. Acara eksklusif ini turut menyaksikan kehadiran ramai selebriti, wakil media, peminat setia, serta tokoh-tokoh penting dalam industri kreatif tanah air.

Para penonton yang hadir rata-ratanya memberikan respons yang sangat positif terhadap filem ini, memuji kekuatan penceritaan, mutu visual yang luar biasa dan mesej yang menyentuh perasaan. Berkongsi keterujaannya, Syafiq menambah, “Ejen Ali 2 adalah antara animasi terbaik pernah dihasilkan di Malaysia. Kualitinya sangat realistik, ada babak-babak yang terasa seperti produksi aksi sebenar. Saya sangat bangga. Ini memang satu penanda aras baharu untuk filem animasi tempatan. Korang wajib tengok!”

Sementara itu, pengarah dan penerbit tersohor, Dato’ Yusof Haslam, turut melahirkan rasa kagumnya, “Dari segi kualiti, Ejen Ali 2 memang bertaraf antarabangsa. Saya sangat hormat usaha pasukan produksi tempatan ini. Ia membuktikan bahawa kita mampu menghasilkan karya yang setanding luar negara. Daripada 10, saya beri 10 bintang.”

Turut hadir ialah ikon berbasikal negara dan duta Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, Dato’ Azizulhasni Awang, yang turut tersentuh dengan kandungan emosi dalam filem ini. “Saya rasa pelbagai emosi sepanjang tayangan ada nilai persahabatan, aksi mendebarkan dan momen yang sangat menyentuh hati. Pendek kata, penuh emosi dan aksi!”

Pelakon popular, Fizo Omar, juga tidak ketinggalan memuji kehebatan filem ini. “Kualitinya memang bertaraf antarabangsa. Jalan cerita, grafik, sistem audio, plot twist semuanya padu! Tak rugi langsung tonton, sebab setiap minit buat kita nak tahu apa yang akan berlaku seterusnya.”

Ejen Ali The Movie 2 merupakan filem animasi aksi yang sesuai ditonton oleh semua lapisan umur, dan menjanjikan pengalaman sinematik yang penuh mendebarkan. Ikuti pengembaraan terbaharu Ejen Ali yang bakal menghiasi layar perak seluruh negara bermula 22 Mei 2025. Tiket-tiket telah pun mula dijual untuk tayangan awal seawal 20 Mei di lebih 70 lokasi pawagam seluruh Malaysia waktu terbaik untuk merancang tontonan bersama keluarga sempena musim cuti sekolah!

Filem ini adalah hasil kolaborasi mantap antara Primeworks Studios, WAU Animation dan Komet Productions. Jangan lepaskan peluang untuk menyertai misi penuh aksi ini dan kongsikan detik-detik menarik anda di media sosial dengan menggunakan tanda pagar rasmi #EjenAliTheMovie2!