Selain itu, mungkin pemilik rumah itu tidak lagi menggemari persekitaran kawasan kediaman tersebut dan ingin lari daripada hiruk pikuk kesibukan kota atau mungkin mahukan suasana kediaman yang lebih tenang dan damai.
Justeru, keputusan menjual rumah didiami kini mungkin perlu difikirkan.
Tetapi hendak jual rumah juga perlu ada cara dan langkah yang betul. Jika tidak ikut prosedur, jualan boleh jadi suatu proses yang memeningkan kepala dan lebih teruk ia tidak berjaya.
Tetapkan harga rumah
Perkara yang perlu dilakukan sebelum menjual rumah adalah semak harga pasaran. Menetapkan harga rumah berdasarkan harga pasaran membantu pembeli mendapatkan pinjaman mencukupi.
Jika tidak membuat semakan, ada kemungkinan harga rumah yang ditetapkan lebih tinggi daripada harga pasaran sehingga membebankan pembeli.
Besar kemungkinan, pembeli tidak akan buat belian kerana ada tawaran yang lebih baik di pasaran.
Perlu ingat, harga rumah tidak termasuk kos guaman dan stamping yang boleh mencecah sehingga lima peratus daripada harga rumah.
Buat semakan
Ada beberapa cara nak semak harga rumah sama ada boleh terus berurusan dengan pihak bank, ejen hartanah atau melantik penilai profesional.
Namun, cara terbaik untuk buat semakan adalah dengan melantik penilai profesional. Nilaiannya lebih tepat dan pemilik rumah berkenaan akan mendapat satu laporan.
Setelah itu, pemilik cuma perlu memberi butiran lengkap mengenai jenis rumah, alamat lengkap, saiz lot dan binaan rumah, kedudukan lot, bilangan bilik dan butiran ubahsuai.
Jika rumah sudah diubahsuai dan ia melibatkan perubahan struktur, pemilik perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa.
Jika tidak mendapat kebenaran ini, maka kos ubahsuai tidak dikira dalam harga pasaran.
Kos terlibat
Terdapat beberapa kos utama yang terlibat dalam penjualan hartanah. Pertama cukai jualan harta tanah (RPGT), kos guaman dan penalti lock-in period.
RPGT adalah cukai yang dikenakan kerajaan ke atas keuntungan jualan hartanah. Kadar cukai dikenakan pula bergantung kepada berapa lama pemilik sudah membeli hartanah tersebut.
Cukai RPGT memang tinggi. Tetapi boleh menggunakan beberapa cara untuk mendapatkan pengecualian atau mengurangkan bayaran.
Sekiranya terdapat dua nama pada rumah berkenaan, kedua-dua pemilik perlu membuat pengecualian untuk mendapat pengecualian penuh.
Pemilik perlu memaklumkan kepada peguam untuk buat permohonan pengecualian. Pengecualian itu pula boleh dibuat setelah perjanjian jual beli ditanda tangani.
Selain itu, pemilik juga boleh mengurangkan cukai dengan membuat penolakan beberapa kos belian dan jualan yang dibenarkan.
Kos itu termasuk kos guaman, fi agensi, pengurusan, baik pulih dan kos pengubahsuaian. Pemilik perlu sertakan dokumen sokongan dan maklumkan kepada peguam anda untuk membuat penolakan dalam kiraan cukai.
Dari segi keperluan melantik peguam pula, ia bergantung kepada penjual untuk memilih melantik peguam atau tidak diwakili. Namun, dengan melantik peguam adalah lebih baik kerana mereka akan menjaga kepentingan pemilik.
Penalti Sesetengah bank akan mengenakan penalti jika pemilik menjual rumah dalam tempoh antara tiga ke lima tahun selepas mendapat pinjaman dan ia dipanggil sebagai penalti lock-in period.
Pastikan kemas
Pandangan pertama amat penting.
Pastikan rumah dalam keadaan kemas dan bebas kerosakan. Rumah yang kemas dan berseri, lebih mudah laku untuk dijual.
Nampak remeh, tetapi pandangan pertama adalah penentu sama ada rumah terlibat boleh dijual atau tidak. Ini kerana pembeli yang datang akan menilai rumah dengan keadaan semasa.
Iklankan jualan Ambil gambar cantik-cantik. Bak kata orang, sekeping gambar memberi seribu makna. Percayalah, foto yang baik boleh mempercepatkan jualan rumah jika harganya berpatutan.
Kemudian, gunakan beberapa platform iklan atas talian termasuk di media sosial atau surat khabar untuk mengiklankan rumah.
Apabila mengiklankan jualan rumah, pastikan butiran rumah lengkap dan tepat seperti lokasi, keluasan, bilangan bilik dan bilik mandi, status pegangan, kawasan persekitaran rumah, fasiliti berhampiran dan akses jaringan jalan raya.
Cara berurusan
Mengurus pembeli sangat memenatkan kalau tidak kena pada caranya dan sebagai penjual perlu membuat saringan awal.
Ambil tahu latar belakang pembeli termasuklah pekerjaannya.
Pemilik atau penjual juga boleh bertanya tentang persediaan kewangan bakal pembeli, adakah pembeli sudah menyemak kelayakan pinjaman mereka, adakah mereka bersedia untuk membayar deposit dan kos guaman?
Jika tidak bersedia, adakah mereka ingin bayar menggunakan alternatif lain seperti pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Maklumat itu sangat penting bagi kelancaran proses jual dan beli.
Langkah jual rumahSetelah pembeli berminat dengan rumah, mereka akan menandatangani surat tawaran atau surat tunjuk minat berserta bayaran tanda jadi. Bayaran itu kebiasaannya adalah tiga peratus daripada harga jual.
Bayaran itu seeloknya dibuat kepada peguam atau ejen hartanah kerana ia akan memberi lebih keyakinan kepada pembeli untuk meneruskan pembelian.
Selepas itu, pembeli akan menghantar permohonan pinjaman rumah kepada pihak bank. Kelulusan biasanya boleh diketahui dalam tempoh 14 hari.
Selepas pinjaman diluluskan, pihak penjual dan pembeli akan menandatangani surat perjanjian jual beli (SPA).
Setelah SPA ditandatangani, pihak bank akan melantik penilai untuk keluarkan laporan penilaian. Mereka akan hadir untuk memeriksa rumah yang terlibat.
Kemudian, tunggu sehingga pindah milik selesai. Tempoh pindah milik ini bergantung kepada sejauh mana rumitnya kes itu dan jenis geran rumah.
Bagi hartanah pegangan bebas yang ada geran individu atau strata, biasanya urusan pindah milik boleh selesai dalam tempoh 90 hari bekerja dari tarikh perjanjian jual beli.
Bagi hartanah pajakan dengan geran individu atau strata pula ia memakan masa lebih lama. Ini kerana, peguam perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa negeri dan ia mengambil masa kira-kira sebulan ke tiga bulan.
Manakala, bagi rumah berstatus master title, sedikit rumit. Peguam perlu mendapatkan pengesahan daripada pemaju sebelum proses pindah milik kepada pembeli, dimulakan.
Bila proses pindah milik selesai, pemilik boleh menyerahkan kunci kepada pembeli. Pada masa sama, jangan lupa untuk tutup akaun utiliti dan dapatkan semula deposit utiliti.
Proses
Tidak ada tempoh mutlak dalam urusan proses jual beli rumah. Hartanah berstatus pegangan bebas dengan geran individu atau strata mengambil masa antara empat ke lima bulan.
Bagi hartanah pajakan dengan geran individu atau strata memakan masa antara enam ke lapan bulan.
Rumah master title pula mengambil masa antara lima ke tujuh bulan dan rumah master title yang mana geran perlu disempurnakan dianggarkan mengambil masa antara setahun untuk diselesaikan.