Usah ceritakan aib sendiri

APABILA terdengar orang bercerita tentang amal kebaikan yang dilakukannya, kita tidak hairan kerana itu sememangnya sifat manusia yang suka menunjuk-nunjuk.

Namun, jika ada yang bercerita membuka aib diri sendiri dan berbangga dengan apa yang dilakukannya, sudah tentu kita berasa pelik, bukan?

Rasulullah SAW bersabda: “Semua umatku akan ditutupi segala kesalahannya kecuali orang-orang yang berbuat maksiat dengan terang-terangan. Masuk dalam kategori berbuat maksiat terang-terangan adalah apabila seorang berbuat dosa pada malam hari kemudian, ALLAH SWT telah menutupi dosanya, lalu, dia berkata (kepada temannya): Hai Fulan! Tadi malam aku telah berbuat ini dan itu. ALLAH SWT telah menutupi dosanya ketika di malam hari sehingga dia bermalam dalam keadaan ditutupi dosanya, kemudian, di pagi hari ia sendiri menyingkap tirai penutup ALLAH SWT dari dirinya.” (Riwayat Muslim)

Hadis itu memberi peringatan pada kita. Seandainya kita melakukan kesalahan, biarlah ia menjadi rahsia diri kita sahaja.

Bahkan, ALLAH SWT juga telah berjanji akan menutup aib seseorang kecuali, jika kita sendiri yang membuka pekung sendiri.

Sedar atau tidak, ia banyak berlaku di dalam media sosial.

Ada yang menceritakan perihal rumah tangga, masalah peribadi dan krisis dengan jiran menerusi media sosial.

Apa agaknya yang berlaku apabila semua orang membaca ‘luahan’ kita itu?

Itu belum lagi bila kisah kita itu dijaja dan disebarkan serta orang ramai pula memberikan pandangan peribadi pada ruangan komen.

Bukan nama kita sahaja yang bakal menjadi sebutan.

Malah, mungkin suami atau keluarga kita juga terpalit sama.

Ya ALLAH, malunya…

Hakikatnya, bukan itu caranya untuk kita mendapatkan ketenangan tatkala dibelenggu masalah.

ALLAH SWT sudah menyediakan sebaik-baik cara jalan penyelesaian buat hamba-Nya yang berada dalam kesusahan.

Apa kata, kita cuba cara ini:

1. Banyakkan berdoa kepada ALLAH SWT. Ketika berdoa, luahkan segala isi hati, permintaan dan bantuan yang diingini. Lakukan dengan bersungguh-sungguh.

2. Lakukan solat taubat. Mana tahu, segala yang berlaku adalah disebabkan dosa-dosa secara sengaja atau tidak yang kita lakukan.

3. Menyesal. Berazam untuk tidak lagi akan mengulangi kesilapan yang telah dilakukan.

4. Dekatkan diri dengan orang positif supaya kita sentiasa berasa tenang dan jauh daripada perkara-perkara negatif.

Jadi, berhati-hatilah. Jangan kita tersilap langkah sehingga membuka pekung di dada.

(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)



Sumber

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *