TV ALHIJRAH RAIH PENGIKTIRAFAN MALAYSIA BEST EMPLOYER BRAND AWARDS 2026

Written by

in

,

TV AlHijrah terus mengukuhkan reputasinya sebagai organisasi media yang menitikberatkan pembangunan insan apabila menerima pengiktirafan Malaysia Best Employer Brand Awards 2026 sempena 21st Employer Branding Awards yang berlangsung di Pullman Kuala Lumpur City Centre. Penghormatan ini diberikan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen berterusan TV AlHijrah dalam memperkukuh pembangunan modal insan, kesejahteraan warga kerja serta pembentukan budaya kerja yang progresif, inklusif dan berteraskan nilai.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Dr. R. L. Bhatia, Pengasas World CSR Day dan World Sustainability Congress merangkap Pengarah World HRD Congress & Employer Branding Awards. Acara berprestij itu dianjurkan oleh Employer Branding Institute – India dengan kerjasama beberapa organisasi antarabangsa termasuk World HRD Congress dan World Federation of HR Professionals (WFHRP).

Turut menerima pengiktirafan pada majlis tersebut ialah pelbagai organisasi daripada sektor korporat dan industri termasuk Pullman KLCC, DHL Malaysia, Alibaba Cloud Malaysia dan Dell Technologies Malaysia, sekali gus mencerminkan kepentingan pembangunan bakat serta budaya kerja progresif dalam landskap organisasi masa kini.

Pengerusi TV AlHijrah, Mohd Khair Ngadiron, yang hadir bersama Ketua Pegawai Operasi, Nadzariah Mohamed, menyifatkan pengiktirafan itu sebagai hasil usaha berterusan organisasi dalam membina persekitaran kerja yang positif, mampan dan berorientasikan nilai. Menurut beliau, warga kerja merupakan aset utama organisasi, dengan dedikasi dan komitmen mereka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan serta transformasi TV AlHijrah.

Sebagai organisasi media yang berpaksikan nilai Islam, TV AlHijrah menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh budaya kerja yang inovatif, progresif dan inklusif selari dengan aspirasi Malaysia MADANI serta perubahan landskap media dan digital yang semakin berkembang.

Malaysia Best Employer Brand Awards 2026 mengiktiraf organisasi yang menunjukkan kecemerlangan dalam aspek pengurusan sumber manusia termasuk pembangunan bakat, kesejahteraan pekerja, kepimpinan, strategi pengambilan pekerja, budaya organisasi serta tanggungjawab sosial korporat. Pengiktirafan ini sekali gus menjadi pencapaian penting buat TV AlHijrah dalam memperkukuh kedudukannya sebagai majikan pilihan dalam industri media tempatan.