TV AlHijrah melakar sejarah penting dalam industri penyiaran apabila diiktiraf sebagai stesen televisyen pertama di Malaysia yang mematuhi sepenuhnya syarat Lesen Hiburan Awam Kanak-kanak dan Orang Muda di bawah Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966. Pencapaian ini bukan sahaja bersifat pentadbiran, tetapi juga melambangkan komitmen berterusan TV AlHijrah dalam menjaga kebajikan bakat muda, sekali gus mengangkat standard industri penyiaran negara.
Pengiktirafan tersebut disampaikan dalam satu majlis khas yang disiarkan secara langsung menerusi program bual bicara pagi Assalamualaikum. Majlis itu menampilkan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Tuan Kamal Pardi, bersama Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Puan Hajah Nadzariah Mohamed. Dalam ucapannya, Puan Hajah Nadzariah menekankan bahawa pencapaian ini menjadi bukti sokongan stesen terhadap usaha menjaga keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak dan remaja dalam bidang seni dan media.
Beliau menegaskan bahawa TV AlHijrah berjaya menyeimbangkan antara nilai syariah dan keperluan industri moden. Pematuhan terhadap Akta Kanak-kanak dan Orang Muda 1966 bukan sahaja memberi jaminan kepada keselamatan bakat cilik negara, malah turut memperkukuh kedudukan stesen sebagai penyiar Islam yang mendidik dan membina masyarakat. Pengiktirafan ini juga akan menjadi pemangkin kepada penghasilan kandungan yang lebih berkualiti, progresif dan berakhlak, sekaligus meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap jenama TV AlHijrah.
Puan Hajah Nadzariah turut memaklumkan bahawa pihaknya akan bekerjasama rapat dengan JTKSM bagi menyediakan latihan khusus kepada penerbit TV AlHijrah. Langkah ini bertujuan memastikan setiap warga kerja memahami sepenuhnya peruntukan undang-undang yang terlibat, selain mampu mengaplikasikannya dalam proses penerbitan kandungan.
Sejak penubuhannya, TV AlHijrah telah konsisten menghasilkan rancangan yang mendidik, menghibur dan membina jati diri masyarakat. Dengan pencapaian baharu ini, stesen berhasrat untuk memperkukuh reputasi sebagai penyiar Islam progresif yang bukan sahaja mematuhi undang-undang, tetapi juga menjadi peneraju dalam memelihara kebajikan kanak-kanak dan remaja di Malaysia.
TV AlHijrah optimis bahawa pengiktirafan ini akan membuka lebih banyak peluang kerjasama dengan agensi kerajaan dan syarikat penerbitan. Ia juga diyakini dapat memperluaskan penawaran kandungan positif dan berimpak tinggi, khususnya untuk generasi muda, seiring aspirasi negara dalam membentuk masyarakat MADANI yang berilmu, berakhlak dan progresif.